BN terus jadikan DAP ‘momok’ untuk kekal berkuasa


The Malaysian Insight

MUNGKIN Dr Mahathir Mohamad paling lantang bersuara mengenai Najib Razak tetapi bagi perdana menteri itu, tetapi DAP ialah musuh utama.

Naratifnya mudah dan berada dalam “playbook” sejak pilihan raya umum (PRU) 2008 – singkir DAP yang majoritinya Cina sebagai pemimpin dan jadikan ia protagonis terhadap pemerintahan Melayu, serta tidak perlu peduli dengan beberapa pemimpin Melayu terkemuka yang menentang Umno.

“DAP sebagai momok menjadi isu utama sejak PRU 2008 apabila BN hilang lima negeri,” kata Ketua Strategi DAP Liew Chin Tong kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada kerajaan pemerintah, Barisan Nasional (BN).

“Ideanya ialah untuk menunjukkan seolah-olah tidak ada kepimpinan Melayu dalam pembangkang dan Umno satu-satunya pilihan yang orang Melayu ada,” katanya.

Sebelum PRU 2008 di mana BN turut hilang majoriti dua pertiga di kerusi Parlimen, satu-satunya pemimpin Melayu yang ada di barisan pembangkang ialah bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya yang keluar Umno pada 1998.

Tetapi Anwar dipenjarakan sementara perjuangan politiknya diambil alih keluarganya dan beberapa penyokong lagi yang tidak mempunyai kedudukan sepertinya. Semua itu berubah pada PRU 2008 di mana beliau mengetuai kempen pembangkang.

Namun, DAP kekal menjadi bahan momokan sementara PKR dan PAS dilihat sebagai hanya rakan kerjasama Pakatan Rakyat dalam perjuangan menentang pemerintahan BN.

Kemenangan besar mereka pada PRU 2013 terurai apabila Anwar sekali lagi dipenjarakan sementara PAS memutuskan hubungan dengan pakatan itu kerana pertelingkahan membabitkan rancangan negara Islamnya.

Keputusan Dr Mahathir keluar daripada Umno dan menubuhkan parti dengan tujuan tunggal menggulingkan Najib dilihat sebagai rangsangan buat pembangkang tetapi Umno mengekalkan strateginya membuatkan DAP ketua pakatan itu.

Sebabnya jelas, apabila BN meningkatkan serangan terhadap DAP, kata Liew yang juga ahli Parlimen Kluang.

 “Ia lebih intensif daripada sebelum ini, sebahagiannya kerana BN sendiri tidak ada cerita positif dan tidak ada pembelaan bagi skandal Najib.

“Satu-satunya cara untuk Umno/BN gerak ke depan ialah dengan menyerang,” katanya, menyentuh mengenai kesan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilihat sebagai projek kesayangan perdana menteri.

Pihak berkuasa Singapura dan Switzerland sedang menyiasat 1MDB berkaitan aliran kewangan yang mencurigakan, sementara syarikat pelaburan negara itu kini diuruskan secara langsung oleh Kementerian Kewangan selepas menjual banyak tanah serta utiliti lain bagi menyelesaikan hutangnya.

Putrajaya baru-baru ini mengisytiharkan 1MDB bebas hutang tetapi pengkritik seperti Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terus memainkan isu itu, disertai Dr Mahathir yang berkata Najib bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB.

Meskipun begitu, Umno hanya dilatih untuk meletakkan sasarannya DAP sebagai protagonis yang mahu menggulingkan kerajaan BN menerusi “berita palsu”, dan juga bantahan terhadap cadangan memperkasakan hukuman syariah dan program Islamisasi.

“Jalan cerita sekarang ialah undi Umno atau PAS,” kata Liew, mengulas mengenai kenyataan melampau pemimpin Umno dan PAS yang dilihat sebagai bunga-bunga kempen PRU akan datang yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2018.

Jalan cerita Islamik tertera menerusi pilihan raya gabenor Jakarta minggu ini di mana penyandangnya, Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama, seorang Cina Kristian tewas kepada lawannya, Anies Baswedan dan gandingannya Sandiaga Uno, kedua-duanya disokong parti dan kumpulan Islam.

Ditanya jika keadaan sama seperti situasi Ahok boleh berlaku di Malaysia, Liew berkata: “Saya akui politik identiti sangat berkuasa dan kita tidak boleh mengetepikan yang Umno mungkin menggunakan cara seperti itu.”

“Tetapi ada dua perbezaan penting di sini. pertama, Najib sangat tidak popular dalam kalangan orang Melayu. Saya rasa kredibiliti beliau di mata orang Melayu sudah tidak boleh dibaiki lagi.

“Kedua, pembangkang mempunyai barisan kepimpinan Melayu,” kata arkitek bagi kemenangan besar DAP di Johor itu pada PRU lalu.

Tetapi naratif pembangkang Melayu tiada dalam skrip yang digunakan “cyber-troopers” dan penulis blog pro Umno. Bagi mereka, DAP ialah musuh yang perlu ditewaskan pada PRU akan datang.

Perkara lain tidak penting, walaupun ia Dr Mahathir atau ahli politik Melayu lain di kem pembangkang. – 22 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen