Kawasan pembangkang masih terima manfaat dana kementerian, kata Noh Omar


Looi Sue-Chern

Noh Omar berkata Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyalurkan peruntukan menerusi pihak berkuasa tempatan, bukan terus kepada ahli Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight, 21 April, 2017.

MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar hari ini menyelar pengkritik yang mengecamnya kerana melupuskan projek pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan dipegang pembangkang.

Beliau berkata kawasan Parlimen yang dikawal pembangkang tidak diketepikan daripada menerima dana untuk projek infrastruktur berskala kecil, juga dikenali sebagai PB.1.

“Mereka tidak faham walaupun saya sudah jelaskan. Kementerian salurkan peruntukan kepada PBT bukan kepada kawasan Parlimen.

“Jika PBT dapat dana, ia bermakna masyarakat di kawasan itu yang berada di bawah bidang kuasa PBT berkenaan akan mendapat manfaat. Satu kawasan bidang kuasa sesuatu PBT mungkin meliputi beberapa kawasan Parlimen, termasuk yang dipegang pembangkang.

“Itu bermakna mereka turut menerima manfaat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Noh dikritik teruk minggu ini susulan satu isi kandungan surat yang terbocor berhubung jabatan kerajaan tempatan membatalkan semula projek kerajaan tempatan BP.1 yang sudah diluluskan di kawasan bukan dipegang BN, tahun ini, atas arahannya.

Surat itu bertarikh 17 Mac dikeluarkan dan ditandatangani oleh ketua pengarah jabatan itu, Abu Bakar Johar.

Projek BP.1 membabitkan kerja membaiki jalan, bangunan, parit, tandas awam, premis perniagaan kendalian PBT dan dewan serba guna.

Noh mengakui surat itu tetapi menekankan tidak berlaku diskriminasi seperti didakwa pengkritiknya, termasuk Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim daripada DAP, serta Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad (PAS).

Beliau berkata pelupusan projek membabitkan 148 kerajaan tempatan di seluruh negara itu tidak bermotifkan politik, tetapi bagi semakan semula peruntukan bagi kawasan itu, terutama yang dikawal parti pembangkang.

“Permohonan dana projek BP.1 oleh PBT perlu dirujuk kepada kementerian untuk diperiksa sama ada ia penting atau tidak untuk rakyat. Ada yang kita boleh luluskan, sementara ada yang perlu ditolak, mengikut bajet kita.

“Itu sebabnya saya arahkan kelulusan itu disemak semula untuk memastikan sama ada ia perlu disegerakan, dan melihat sama ada ahli Parlimen di kawasan berkenaan tahu mengenainya dan sudah membuat permohonan.

“Saya fikir ada sesetengah ahli Parlimen tidak tahu apa yang berlaku di kawasan mereka sendiri,” katanya.

Mengenai kritikan Nga dan ancamannya hendak menghantar surat tuntutan ke kementeriannya untuk menarik semula pembatalan itu, Noh berkata hampir RM2 juta diberikan kepada Majlis Perbandaran Taiping, yang meliputi Taiping dan Bukit Gantang.

Beliau berkata RM900,000 untuk membaiki tingkap pasar, RM750,000 pembinaan dewan serba guna setiap satu di Padang Gajah dan Sungai Kerang, dan RM300,000 bagi menaik taraf padang awam di Kamunting.

“Jumlahnya RM1.95 juta untuk rakyat yang tinggal di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Taiping. Ia meliputi kawasan pembangkang juga,” katanya.

Katanya, baru-baru ini beliau meluluskan RM700,000 bagi satu projek kecil di Ipoh Timur apabila pemimpin tempatan memohon terus kepadanya.

Bagi kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan, di mana kawasan Sim berada, Noh berkata kementerian sudah memberikan peruntukan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai.

“Lebih baik Nga dan Sim periksa dengan PBT mereka untuk lihat sama ada kementerian beri mereka duit atau tidak.

“Ahli Parlimen tidak selalunya tahu bila ada peruntukan persekutuan diberi kepada PBT mereka dan seterusnya ke kawasan Parlimen masing-masing.

“Kementerian tidak simpan duit itu. Ia Cuma tidak diberi secara langsung ke kawasan Parlimen anda. Ia diberi menerusi PBT,” katanya.

Noh berkata di Selangor, dana diberi kepada Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi projek kecil bernilai RM1 juta setiap satu.

Katanya, ada juga beberapa kali BN mahu membina projek di Selangor tetapi tidak mendapat kelulusan PBT di sana.

“Kami hendak bina dewan di Kapar tetapi PBT kata tidak boleh,” kataya.

Berhubung pembangkang yang kini menggunakan isu untuk menapisnya dan pentadbiran BN, sehingga mendesak rakyat tidak mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang, Noh berkata: “Tidak mengapa. Biasalah. Biar mereka hentam. Saya sudah pun beri penjelasan.” – 21 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen