Ahok tewas, kerana hati menewaskan akal


Izmil Amri

GANDINGAN Ahok-Djarot akhirnya tewas kepada gabungan Anies-Sandi dalam pilkada (pilihan raya kepala daerah) Jakarta minggu ini. Ahok, atau nama penuhnya Basuki Tjahaja Purnama, gagal mempertahankan jabatan “gubenur” Jakarta, meski menang tipis pada pusingan pertama.

Rata-rata para pemerhati dan pemeduli politik Indonesia melihat kekalahan tersebut adalah ekoran kempen Front Pembela Islam terhadap soal Ahok melecehkan Al-Quran.

Hatta, kemenangan pasangan Anies Baswedan dan Sandiaga Uno mengundang sambutan meriah daripada golongan agama penentang Ahok, dengan takbir dan teriak-teriak “Aksi bela Islam”. Sepertinya kemenangan Anies-Sandi dan kekalahan Ahok-Djarot adalah kemenangan bagi Islam.

Anies yang didukungi “tim sukses” pimpinan Mardani Ali Sera, kader Partai Keadilan Sejahtera (aka PAS Indonesia) tidak menangguh dalam mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya bagi aksi yang didukungi parti Islam itu, bersama-sama rakan koalisi Gerindra pimpinan Prabowo Subiyanto yang berkempen dengan tema nasionalis sewaktu melawan Joko Widodo pada 2014.

Gabungan elemen nasionalis dan agama ternyata cemerlang mengusung Anies-Sandi, sementara meninggalkan Ahok-Djarot dalam keadaan tercorot dengan angka kekalahan yang amat menyedihkan.

Masakan tidak, bukan sedikit kerja dan usaha Ahok sepanjang menjabat tanggungjawab sebagai gabenor Jakarta; bahkan segala parit dan tali air yang dulunya tepu dengan sampah, habis semua dibersihkannya. Namun ternyata, kinerja (istilah Indonesia bermaksud prestasi) penat lelah Ahok tidak diterjemah menjadi sokongan politik. Malah mungkin ucapan terima kasih pun tidak ada.

Kenapa ini terjadi? Mudahnya kerana masyarakat mengundi dengan hati, dan mengesampingkan rasional akal fikiran.

Ahok, Cina, kafir, anti Islam.

Kerja membingkai Ahok sebagai musuh nombor wahid umat Islam Jakarta, barangkali kerja paling mudah dan paling ampuh untuk membunuh kerjaya politiknya. Sudahlah Cina, kafir Kristian pula; berani memperleceh ayat Al-Quran. Mana mungkin Ahok layak dibiarkan mengepalai Jakarta, bandaraya Islam. Tidak pedulilah Djarot Saiful Hidayat itu kuat beragama pun.

Jakarta seakan lupa pilkada hanyalah satu proses politik, bukan sebuah peperangan menawan ibu kota Indonesia, sehinggakan habis semuanya lupa tentang prestasi Ahok dan kebijakan yang dibawanya.

Kerana tergoda dengan sentimen “perang” dan perlawanan setelah ditekan butang Islam, kebijakan dan prestasi diletak tepi.

Yang penting, Ahok kafir, lecehkan ayat suci. Sialan loe Ahok!

Eh, bukankah situasi ini sebenarnya tidak jauh berbeza daripada yang kita lalui dalam proses politik di Malaysia?

Lihat saja bagaimana mudahnya gabungan nasionalis Umno dan golongan agama PAS berpadu tenaga menjaja idea kemandirian politik Melayu-Islam menentang segala macam pluralis, liberal, kafir harbi melawan RUU 355 yang semuanya habis dilabel musuh, seolah-olah sedang berperang. Padahal proses demokrasi melalui pilihan raya umum sebenarnya adalah proses memilih pentadbir dan mengimbang polisi yang ditawar parti-parti politik.

Namun lebih mudah sekiranya proses politik itu dikaburkan dengan sentimen agama, sama saja seperti yang dilakukan dalam perlawanan Ahok-Anies.

Padahal hakikatnya pasukan Anies tidak pun membawa kempen yang berunsur agama. Anies pun tidak terikut-ikut dengan aksi bela Islam. Malah Anies dulu juga berkempen untuk Jokowi, yang ditentang hebat gabungan Gerindra-PKS. Namun semuanya habis tidak didaftar kepala, hanya kerana Anies dibingkai bersongkok, Islam dan melawan si Cina kafir.

Di Malaysia, sifirnya barangkali lebih mudah lagi.

Kempen saraf Umno (dan kini bersekali PAS) untuk mengolah persetujuan masyrakat terhadap pembingkaian mereka tentang yang selain Melayu-Islam adalah sangat merisaukan dan mungkin saja menghancurkan fabrik sosial yang terjalin selama 60 tahun Merdeka.

Namun real politik mendiktasi itulah jalan paling tuntas untuk menyegerakan sokongan majoriti Melayu-Islam kembali kepada Umno-PAS, dua tiang seri kekuatan politik Melayu-Islam Malaysia.

Langkah seterusnya bagi Perdana Menteri Najib Razak setelah membugar agenda ekonomi Bumiputera, mengangkat perjuangan RUU 355 dan menabur dedak di sini sana ialah mengumumkan harga minyak turun 10 sen saja, sebelum membubarkan Parlimen dan menang bergaya.

Kerana dalam pertembungan akal dan hati; forum dan dasar tidak pernah memujuk nurani. Dua puluh Buku Jingga pun belum tentu berjaya memujuk; sedangkan skandal 1MDB pun orang tidak peduli. Biarlah mencuri, asalkan Melayu-Islam yang korupsi. Bukankah begitu? – 22 April, 2017.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen