‘Berganda sukarnya’ jadi pemimpin DAP Melayu, kata Zairil


Looi Sue-Chern

Zairil Khir Johari menafikan beliau lelaki dalam gambar intim yang sedang tersebar luas di Internet dan juga berkata hubungannya dengan Dyana Sofya Mohd Daud hanya hubungan profesional. – Gambar The Malaysian Insight, 20 April, 2017.

BIASANYA, bila ada gambar yang dikatakan pemimpin muda Melayu DAP – Zairil Khir Johari dan Dyana Sofya Mohd Daud dimuat naik ke media sosial, isteri Zairil yang akan beritahu padanya.

Mereka gelak saja dengan cubaan terkini pesaing politik yang ingin memusnahkan imejnya sebagai ketua keluarga dan ahli politik beragama Islam.

Ketawa dan cuba meneruskan hidup – itu saja yang boleh dibuat, kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight, Zairil menafikan beliau lelaki dalam gambar yang sedang tersebar luas di Internet dan juga berkata hubungannya dengan Dyana hanya hubungan profesional.

Bagaimanapun katanya, beliau kasihan kepada Dyana kerana dia sentiasa menjadi sasaran mudah bagi mereka yang mahu memusnahkan parti itu dan personaliti muda berbangsa Melayu di dalamnya.

Ahli Parlimen yang memenangi kerusi itu pada 2013 berkata beliau percaya Dyana sasaran mudah kerana Umno takut pada wanita itu dan mereka yang bersikap seperti Dyana.

“Dia sasaran mudah. Sebelum pilihan raya kecil (Teluk Intan), ada gambar dia yang lain juga. Gambar bikini katanya.

“Dia ada semua yang Umno takutkan, bukan? Melayu, datang dari keluarga Melayu kelas pertengahan, dibesarkan dengan cara tipikal Melayu, dan masuk ke UiTM (Universiti Teknologi Mara), kemudiannya menjadi Melayu profesional, dan menyertai DAP.

“Itulah apa yang mereka paling takut,” kata penolong setiausaha publisiti DAP itu kepada The Malaysian Insight.

Zairil dan Dyana terperangkap dalam kontroversi bersama sejak gambar dan video intim satu pasangan yang seiras wajah mereka viral di media sosial.

Kali pertama gambar seumpama itu timbul pada 2014 selepas PRK Teluk Intan. Dyana jadi calon atas tiket DAP, wajah baru gadis tempatan bertanding kali pertama, tetapi kalah kepada Presiden Gerakan Mah Siew Keong.

Zairil, terus menerus menafikan beliau lelaki dalam gambar serta video lain yang muncul beberapa bulan lalu, termasuk lima gambar yang viral minggu ini menunjukkan satu pasangan, kelihatan seperti mereka, beraksi intim di dalam sebuah restoran.

Beliau sering menerima serangan peribadi seumpama itu sejak menyertai parti itu tujuh tahun lalu.

“Mereka juga pernah mempersoalkan keturunan saya ketika dilantik ahli Parlimen,” kata anak lelaki bekas menteri Umno, Khir Johari.

Zairil berkata serangan peribadi itu konspirasi untuk membunuh karakternya dan menyerah DAP, dan beliau percaya cara terbaik menanganinya ialah dengan tidak mengendahkan mereka, tidak membiarkan mereka terus menjejaskan kerja dan kehidupannya.

“Saya orang yang tidak mendedahkan kehidupan peribadi. Saya asingkan antara perkara kerja dan peribadi. Saya tidak bercakap mengenai keluarga atau perkara peribadi.

“Sekarang saya rasa seperti selebriti TV, tapi dalam cara yang teruk,” katanya.

Berikut ialah sebahagian daripada temu bual bersama The Malaysian Insight:

S: Apa yang membuatkan anda mahu menyertai politik dan memilih DAP? Apa perjuangan politik anda?

Zairil: Saya menyertai DAP pada 2010, dua tahun selepas tsunami politik pada 2008. Tsunami politik itu yang memberikan saya inspirasi. Bila saya mengundi pada pilihan raya umum itu, saya mengundi dengan memikirkan yang satu undi tidak akan membuat sebarang perubahan.

Tapi sebenarnya ia bawa perubahan. Ia menyumbang kepada kawasan di mana saya mengundi. Saya sangat gembira kerana menjadi sebahagian daripada perubahan itu dan saya fikir saya boleh memainkan peranan lebih besar.

Saya memilih DAP berdasarkan beberapa perkara. Salah satu daripadanya ialah kerana nasihat daripada seorang pemimpin Umno yang rapat dengan bapa saya. Dia beritahu saya Umno tidak akan menjadi parti untuk orang muda dan mereka yang mahukan perubahan, dan saya patut menyertai pembangkang.

S: Sukar menjadi pemimpin Melayu DAP? Bagaimana? Kenapa?

Zairil: Memang sukar menjadi personaliti DAP. Sama ada anda Melayu, India atau Cina, ia sukar, kerana DAP parti yang teraniaya, ditindas dan dizalimi sejak sekian lama. Lihat saja isu RoS (Pendaftar Pertubuhan).

Ia masih tidak selesai sehingga hari ini. Semua cawangan sudah berdaftar sejak insiden RoS, tetapi masih belum diluluskan lagi. Kami secara asasnya dalam keadaan terawang. Itu satu contoh bagaimana DAP sering menjadi sasaran.

Adakah ia sukar? Ya, memang sukar. Saya fikir menjadi Melayu, ia dua kali ganda sukar kerana tidak banyak pemimpin Melayu dalam DAP, dan tidak tahu mengapa menjadi DAP sering disamakan dengan jadi cauvinis China, Kristian dan anti Islam. Anda buka diri anda untuk dilabelkan seperti itu. Ia dua kali ganda lebih sukar.

S: Anda hampir menghabiskan penggal pertama sebagai ahli Parlimen. Adakah pengalaman anda lalui sama seperti yang anda jangka? Politik murahan seperti dijanga?

Zairil: Ia pengalaman yang hebat. Saya fikir saya dapat mengendalikannya dengan baik dalam penggal pertama ini. Saya rasa saya menjalankan tugas dengan membangkitkan banyak isu di Parlimen. Saya sertai bahas dalam beberapa isu penting dalam negara.

Saya rasa saya berkhidmat kepada kawasan saya, dan membantu ramai orang. Rasa gembira bila tahu anda menolong orang dan melihat perubahan berlaku, terutama kesan daripada tindakan anda. Politik murahan? Ya, ini kan Malaysia.

S: Mengenai gambar yang tersebar, rupa seperti anda, dalam keadaan intim dengan seseorang nampak seperti Dyana, tersebar di online. Bila gambar seperti itu muncul? Sudah berapa kali anda berdepan dengan situasi seperti itu?

Zairil: Saya fikir ia selepas PRK Teluk Intan. Sudah tiga kali kan? Saya pun tidak mengiranya. Sebenarnya, bukan dengan dia saja. Ada banyak cerita di luar sana. Serangan peribadi terhadap saya bermula sejak saya sertai DAP pada 2010.

Jadi sebelum saya dipilih pun, ada banyak cerita dan saya menjadi sasaran blogger, media BN, mengaitkan saya dengan pelbagai perkara. Malah ada yang mempersoalkan keturunan saya. Semua itu masih berterusan.

Saya bukan orang yang cenderung dengan tindakan undang-undang. Saya minta nasihat peguam keluarga mengenai isu ini. Ironinya, walaupun dia peguam, dia juga rasa tidak perlu membuat sebarang tuntutan. Dia beritahu saya banyak kali ini adalah sebahagian daripada politik, selagi kita tidak benarkan ia menjejaskan kerja yang kita.

Tidak ada orang kata saya curi duit, pecah amanah atau apa-apa seperti itu. Jadi jika ada serangan terhadap saya, keluarga saya, kehidupan peribadi atau apa pun, saya biarkan saja seperti yang patut saya buat. Dan saya fikir semua orang patut begitu.

S: Anda secara konsisten menafikan lelaki dalam gambar itu ialah anda, tetapi ada orang yang tidak percaya, jika dilihat berdasarkan komen di media sosial. Apa yang boleh anda lakukan untuk menangani keadaan itu?

Zairil: Ini memang pengkritik saya. Mereka tidak akan percaya saya walau apa pun. Meskipun saya cakap matahari terbit di timur dan terbenam di barat, mereka akan tetap cari jalan membantahnya. Dari awal saya sertai DAP, ada orang mempertikaikan siapa bapa saya. Ia tidak masuk akal. Sebenarnya, senang saja untuk buktikan pertikaian itu. Tetapi perlukah saya buktikan?

S: Anda fikir siapa dalang semua ini dan apa motifnya?

Zairil: Sudah jelas, mereka ialah orang yang mahu menjatuhkan saya, karakter saya. Ia pembunuhan karakter. Memang jelas, ia dilakukan musuh politik. Adakah saya secara peribadi kenal siapa mereka? Tidak, saya tidak tahu. Motifnya ialah untuk merosakkan imej dan menjatuhkan saya serta parti.

S: Sebelum ini, bila pilihan raya umum semakin hampir, tuduhan skandal seks terhadap Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Mustafa Ali akan muncul, menggambarkan orang Melayu dalam parti politik sebagai tidak Islamik. Anda rasa perkara yang sama berlaku kepada anda?

Zairil: Ya, itu memang trend. Seperti saya cakap tadi, ini Malaysia. Tetapi ia berlaku di seluruh dunia. Baru-baru ini, gandingan calon gabenor Jakarta. Menjelang pemilihan itu, muncul juga tuduhan yang sama. Itu sebahagian daripada politik dan jika seseorang mahu menyertai politik, mereka perlu terima keadaan itu.

S: Anda ada buat laporan kepada polis atau SKMM?

Zairil: Sejak bersama DAP pada 2010, saya buat banyak laporan. Tidak ada yang diambil tindakan. Seperti yang saya kata, kebanyakan isu peribadi. Saya rasa tidak mengendahkan perkara itu tindakan terbaik. Kerana saya tidak mencampuradukkan kerja dengan hidup saya. Saya hanya mahu meneruskan kerja saya.

S: Anda rasa, kenapa anda disasarkan dengan cara begini? Adakah kerana anda pemimpin Melayu dalam DAP, yang ada masa depan cerah dalam parti?

Zairil: Sesiapa yang berprofil tinggi dalam politik akan akhirnya menjadi sasaran bagi perkara seperti ini. Anda sendiri namakan pemimpin terdahulu yang melalui keadaan seperti ini.

S: Kenapa agaknya sasaran satu lagi ialah Dyana? Ada anda dan Dyana berbincang mengenai gambar itu?

Zairil: Kami berbincang mengenai gambar itu. Biasanya, kami ketawa saja. Apa lagi yang boleh kami buat kan?

S: Boleh anda gambarkan hubungan dengan Dyana? Adakah hubungan itu berubah sejak munculnya gambar seperti itu?

Zairil: Kami mempunyai hubungan profesional yang baik. Kami bekerja lebih rapat sebelum dia ke UK untuk sambung pelajaran selepas PRK. Selepas itu, kebanyakan masanya dia di Teluk Intan. Kami kurang berkomunikasi, walaupun mengenai kerja.

S: Apa pendapat anda tentang artikel di media dan blog, serta komen di Facebook mengenai isu ini? Ada yang kata penyokong Pakatan Harapan tidak mahu anda berdua dicalonkan pada pilihan raya akan datang. Ada blog mendakwa seseorang yang rapat dengan isteri anda mengesahkan gambar itu ialah anda. Ada blogger kata itu sebabnya anda menentang RUU 355.

Zairil: Itu memang sudah dijangka. Itu reaksi yang mereka mahukan. Sesiapa yang menyerang, itu memang reaksi yang mereka mahu. Pembunuhan karakter ialah memastikan karakter saya musnah. Mungkin blogger itu patut tanya isteri saya terus, jika ada yang mendakwa rapat dengan isteri saya.

Ini sebabnya saya menentang RUU 355? Senang sangat hendak kaitkan perkara ini, tetapi jelasnya saya sudah menyatakan pendirian terhadap RUU 355. Ia tidak ada kena mengenai dengan perkara ini. Hujah saya mengenai RUU 355 semuanya berdasarkan pada merit.

S: Adakah anda fikir serangan peribadi seperti ini akan menjejaskan kedudukan dalam DAP, reputasi anda di kawasan dan peluang dicalonkan dalam PRU14?

Zairil: Kedudukan saya dalam DAP, bukan saya yang putuskan. Saya hanya meneruskan kerja, berkhidmat di kawasan, buat apa yang perlu dibuat di Parlimen, terus membangkitkan isu dan bekerja untuk parti. Semua kerja itu akan berterusan. Terpulang kepada parti untuk menilai berdasarkan kerja dan usaha kami. Setakat ini, saya dinilai berdasarkan kerja dan usaha saya.

S: Bagaimana dengan pengundi? Bagaimana anda akan meyakinkan mereka yang anda bukan orang yang tidak bermoral?

Zairil: Secara jujurnya, saya rasa kebanyakan pengundi, rakyat Malaysia secara umum, dapat melihat apa yang betul, apa tidak. Setakat ini, ramai menghantar mesej sokongan kepada saya, yang amat saya hargai. Tetapi sekali lagi, bukan luar biasa untuk menjadi sasaran seperti ini di Malaysia. Bila orang tanya saya mengenai perkara ini, saya akan jawab. Saya sedang menjawab soalan anda sekarang.

S: Bagaimana parti anda menangani keadaan ini, bila gambar dan video itu muncul sebelum ini? Adakah kepimpinan parti menasihati anda?

Zairil: Tujuan sebenar serangan ini ialah untuk menjejaskan DAP. Parti ini sentiasa dikepung. Kami diserang. Ini hanya salah satu serangan itu. Bukan saya seorang pemimpin DAP yang dikepung di sini. Pemimpin lain juga diserang atas pelbagai alasan.

Itulah kehidupan ahli politik DAP. Kepimpinan tertinggi juga faham risiko bila terbabit dengan DAP. Saya ada terima nasihat bagaimana menangani serangan ini, dan bagaimana untuk memastikan ia tidak menjejaskan saya.

S: Anda sudah berkahwin dan mempunyai dua anak yang masih kecil. Adakah insiden seperti ini menjejaskan keluarga anda?

Zairil: Pujian patut diberikan kepada mereka – anak saya masih kecil, (anak perempuan berusia lapan tahun dan lelaki, empat tahun) – tetapi isteri saya sangat memberi sokongan. Saya rasa dia wanita yang kuat. Dia daripada keluarga ahli politik, tetapi tidak begitu dikenali dalam Umno. Mungkin dia faham asam garam dalam politik. Selagi kami berdua saling menyokong satu sama lain, itu yang paling penting bagi saya.

S: Apa yang anda beritahu isteri anda bila gambar itu muncul? Bagimana beliau menerima keadaan itu? Menyokong anda 100%?

Zairil: Kebanyakan masanya isteri yang beritahu saya. Boleh dikatakan dia menyokong saya 100%. Dia tidak marah saya seperti didakwa sesetengah blogger. Dia tahu kebenarannya.

S: Anda rasa, siapa pun mereka yang mendalangi perkara ini akan akhirnya berhenti menyerang anda, jika anda terus tidak mengendahkan serangan itu?

Zairil: Mereka tidak akan berhenti menyerang DAP. Mereka tidak akan berhenti mengganggu sesiapa pun yang ada kaitan dengan DAP, termasuk saya.

S: Anda masih rasa yang karier dalam politik itu berbaloi?

Zairil: Persoalannya ialah: “Berbaloikah cuba untuk menyelamatkan negara ini?” dan “Berbaloikah untuk cuba mencapai perubahan itu?”

Saya rasa itu soalan yang lebih besar kepada kita. Saya komited kepada agenda perubahan, agenda membetulkan apa yang salah dalam keluarga. Kita tidak boleh betulkan banyak perkara, tetapi banyak perkara boleh diperbaiki menerusi proses politik dan itu apa yang cuba saya lakukan.

Itu yang parti saya sedang cuba lakukan. Itu yang kebanyakan ahli politik sedang lakukan. Selagi kami rasa ada benda yang boleh disumbangkan kepada proses itu, pada saya ia memang berbaloi. – 20 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen