Bersaing tawan pengundi Melayu, kempen anti DAP semakin jijik


Zulkifli Sulong

Umno berharap mereka boleh memberikan persepsi di kalangan pengundi Melayu yang empat parti dalam Pakatan Harapan berada di bawah telunjuk DAP dan negara bakal dikuasai Cina jika ia menang pada pilihan raya umum nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2017.

MENJADI perkara biasa bagi Normah Yusof menerima promosi produk halal melalui telefon pintarnya tetapi grafik terbaharu yang masuk melalui aplikasi Whatsapp menyebabkan beliau kesal.

Terpampang grafik bertajuk “Boikot Barangan DAP” dengan tajuk berwarna merah dan tajuk kecil “Kasi lunyai semua kedai kedai Cina DAP”.

Penganalisis politik berkata, Normah adalah sasaran tipikal kempen yang menggunakan sentimen agama dan kaum ketika parti politik Melayu seperti Umno dan PAS membuat serangan psikologi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun sesetengah pemimpin PAS memberikan amaran kempen berlebihan sebegini boleh memberikan kesan negatif kepada parti itu di kalangan bukan Islam kerana ramai antara mereka menang dengan sokongan golongan itu sebelum ini.

“Kepada semua pimpinan PAS, dengan rendah diri saya berharap boleh mentarbiahkan ahli agar jangan sembarangan mengeluarkan kata-kata maki hamun atau apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai kebencian pukal kepada ‘bangsa Cina’ apabila marah,” kata Dr Halimah Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Selangor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Halimah dan 14 lagi rakannya daripada PAS menang di Selangor susulan sokongan penuh bukan Islam ke atas mereka.

“Jika ada isu, halakan kepada isu itu sahaja seperti Nanyang Siang Pau. Bukan pukul rata. Ramai Cina yang tidak ada masalah dengan Islam dan PAS,” kata pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Selangor itu.

PAS dan Umno kini melakukan serangan terhadap DAP dengan melabelkan parti itu sebagai anti Islam dan Melayu.

Dengan tindakan itu, mereka berharap akan merosakkan imej rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang memenangi undi popular pada pilihan raya umum lalu.

Umno berharap mereka boleh memberikan persepsi di kalangan pengundi Melayu yang empat parti dalam PH sedang dipimpin DAP dan menakutkan orang Melayu, negara bakal dikuasai Cina jika ia menang pilihan raya umum nanti.

Pemimpin Umno termasuk Ketua Wanita Shahrizat Abdul Jalil memberikan amaran kepada pengundi Melayu yang pemimpin DAP, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika PH berjaya menawan Putrajaya.

PAS turut meningkatkan kempennya terhadap DAP, walaupun pernah bekerjasama dalam dua pilihan raya lalu, selepas DAP dilihat cuba menentang pindaan undang-undang syariah.

Kempen ini semakin menjadi-jadi selepas usul RUU355 dibentangkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.

Apabila akhbar Nanyang Siang Pau menyiarkan karikatur mengenai usul RUU355 di Dewan Rakyat dengan menggambarkan Hadi dan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia sebagai monyet di atas pokok berdepan “ubi panas”, ia juga dikaitkan dengan DAP.

Hakikatnya, Nanyang tiada kaitan dengan DAP tetapi dimiliki ahli perniagaan dari Sarawak yang menyokong SUPP, parti kerabat dalam Barisan Nasional.

Nanyang kemudiannya memohon maaf dan menarik balik kartun ini.

Hadi ketika berucap di Marang pada majlis sambutan selepas kejayaan membentangkan usul meminda RUU355 menyerang DAP habis-habisan dalam ucapan itu.

“Dulu Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP.

“Jadi, DAP ini anak butir tahi PAP. (Saya) Sebut dengan bahasa yang kasar sedikit,” katanya pada10 April lalu.

Penyelidik, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata kempen sentimen ini boleh berkesan untuk pengundi luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada maklumat lengkap.

“Pengundi bandar yang terdedah kepada segala maklumat akan lebih faham ia bermotif politik dan cuba menutup apa masalah sebenar mereka,” katanya.

Bagi Normah, suri rumah itu, bahan kempen anti DAP yang masuk ke telefon bimbitnya melampau dan tanpa ragu-ragu terus memadamkannya.

“Apa semua ini? Ingat orang bodohkah?” katanya. – 20 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen