Mencari pejuang pejalan kaki


Badrul Hisham Ismail

“SETIAP pemikiran bernas datang ketika sedang berjalan kaki”, kata seorang ahli falsafah dari Jerman. Ahli sains berkata berjalan kaki baik untuk kesihatan fizikal dan mental. Ada juga ahli ekonomi yang kata ia baik untuk ekonomi. Jane Jacobs pula kata, secara tidak langsung dalam karyanya The Death and Life of Great American Cities, budaya berjalan kaki boleh meningkatkan keselamatan awam.

Apakah faedah berjalan kaki? 

Pertama – dan yang paling jelas – berjalan kaki dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Satu kajian di Eropah menunjukkan berjalan pantas selama 20 minit sehari dapat mengurangkan risiko kematian pramasa. Kajian di London School of Economics (LSE) pula mengatakan berjalan kaki dapat mengurangkan berat badan dengan lebih efektif berbanding bersenam di gim (untuk negara yang sedang mengalami masalah obesiti, ini perkara yang harus diambil penting).

Selain itu, berjalan kaki juga boleh mengatasi masalah kemurungan. Menurut seorang doktor di United Kingdom yang memulakan aktiviti berjalan kaki untuk pesakitnya, 29% daripada mereka tidak lagi memerlukan ubat-ubatan anti depresi dan 92.5% berkata angin mereka bertambah baik.  

Kedua, budaya berjalan kaki dapat meningkatkan keselamatan awam. Hujahnya mudah – dengan adanya ramai orang di jalanan akan membuatkan orang lebih takut untuk melakukan jenayah.

Jacobs dalam karyanya The Death and Life of Great American Cities memetik tentang pentingnya “mata-mata” (bukan detektif tetapi kata majmuk untuk mata) di jalanan untuk meningkatkan keselamatan awam, dan salah satu cara untuk meningkatkan bilangan “mata-mata” ini adalah dengan meningkatkan penggunaan dan bilangan orang di jalanan.

Sikap percaya ini pula hanya dapat ditanam dan dibentuk oleh kontak sesama penduduk kota yang berlaku dari masa ke semasa di jalanan – sesuatu yang tidak dapat berlaku jika penduduk kota hanya bergerak di dalam kenderaan peribadi masing-masing.  

Menyebut tentang kenderaan peribadi, kita sering diberitahu yang budaya memandu penting dan baik untuk peningkatan ekonomi sesebuah bandar. Perancang bandar dan pemaju sering mementingkan pemandu kenderaan peribadi dalam merancang pembangunan. Tetapi, apabila dilihat balik dengan teliti tabiat penduduk di kota besar, sebenarnya pejalan kaki lebih kerap mengunjungi tempat perniagaan, dan meluangkan lebih banyak masa serta lebih berbelanja. Ini menyumbang kepada peningkatan ekonomi di kota.

Budaya berjalan kaki juga dapat melahirkan masyarakat kota yang berfikiran cerdas. Pejalan kaki sering meluangkan masa mereka ketika berjalan dengan memikirkan banyak perkara, sama ada secara sedar atau tidak. Banyak ideayang boleh tercetus dengan tabiat ini. Ditambah pula dengan faktor kesihatan fizikal dan mental yang disebut di atas, masyarakat aktif, produktif dan kreatif – sesuatu yang utama dalam kemajuan sesebuah kota – dapat dilahirkan.  

Tetapi kenapa tidak ramai orang berjalan kaki? Kenapa budaya berjalan kaki hanya wujud di kota tertentu saja?  

Bila kita tinjau persekitaran kota kita, tentu saja tidak ramai yang mahu berjalan kaki. Di samping infrastruktur yang tidak cukup, banyak pula rintangan lain yang membuat orang tidak mahu berjalan.

Inilah natijahnya apabila kota itu direka bentuk untuk kenderaan peribadi. Sudah tentu menjadikan kota kita lebih mesra pejalan kaki bukanlah perkara mudah. Banyak perubahan infrastruktur yang perlu dilakukan. Tetapi perubahan ini tidak perlu dilakukan secara drastik. Bandar Kajang tidak perlu diubah langsung menjadi seperti Kota Manhattan, misalnya. Banyak perubahan kecil yang boleh dilakukan secara berperingkat.   

Antara perubahan yang boleh dilakukan adalah membina lorong pejalan kaki yang jelas, sempurna dan berterusan. Ini amatlah penting. Warga kota tidak akan berjalan kaki sekiranya tiada ruang yang selamat daripada kenderaan lain untuk mereka berjalan.

Selain itu, untuk negara beriklim khatulistiwa seperti di Malaysia ini, lorongini haruslah ditemani pokok rendang yang boleh memberi teduhan daripada terik matahari. Kita boleh lihat seperti di Putrajaya, di mana terdapat lorong pejalan kaki yang luas tetapi kerana tiada pokok memberi teduhan, tiada orang yang berjalan kaki di sana.  

Kedua, membina sistem pengangkutan awam yang efektif. Sudah tentu, apabila orang berjalan kaki, dia tidak akan memandu dan akan bergantung kepada pengangkutan awam. Usaha untuk memantapkan sistem ini sudah dapat dilihat dengan pembinaan MRT, dan jika ditambah lagi dengan bas pengantara yang boleh membawa penduduk dari rumah ke stesen, harapnya perkara ini dapat dicapai.  

Ketiga, mewujudkan suasana perederan jalan yang menyenangkan. Semuanya tentang persepsi jarak. Berjalan kaki sejauh 500 meter merentasi kawasan letak kereta atau di bawah jejambat pasti kelihatan sukar. Tetapi jika perjalanan itu dilakukan di samping deretan kedai atau kafe, pastinya ia akan berasa lebih mudah Ini boleh dilihat di kawasan Pasar Seni, di mana terdapat lebih banyak pejalan kaki jika dibandingkan dengan kawasan TTDI, misalnya.  

Selain itu, penting juga untuk kita mengadakan aktiviti di kawasan awam seperti Dataran Merdeka, Taman KLCC, Stadium Kajang dan lain-lain. Ini akan menggalakkan kehadiran penduduk di jalanan dan di ruang awam, bukan hanya di pusat beli-belah saja. Jika kita perhatikan, kota yang bagus semuanya mempunyai ruang awam yang rancak seperti Washington Square di New York atau Grand Place di Brussels. Bukan saja ini akan menggalakkan kehadiran pejalan kaki, malah ia akan menambahkan lagi suasana kehidupan di kota dan memupuk semangat kemasyarakatan sesama penduduk.  

Banyak langkah yang sudah kita sedia maklum boleh diambil untuk menggalakkan budaya ini. Persoalan yang tinggal hanyalah kemahuan warga kota sendiri untuk mendesak pemimpin, perancang bandar serta pemaju untuk merealisasikannya. Seperti kata Susan Claris, seorang perunding dan pereka bandar di Arup, “Ia suatu perkara yang mudah, tetapi tidak cukup glamour. Tidak ada individu yang mengambil peranan sebagai jurucakap bagi pejalan kaki, seperti mana adanya jurucakap untuk penunggang basikal.” Dan itu yang kita perlukan – para pejuang pejalan kaki. – 19 April, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen