Siasatan Peter Chong bazir masa kami, kata ketua polis negara


Muzliza Mustafa

KETUA Polis Negara Khalid Abu Bakar hari ini berkata siasatan terhadap kehilangan bekas ahli Majlis Petaling Jaya Peter Chong Fook Meng membazirkan masa polis.

Khalid berkata polis pada mulanya terkejut dengan kehilangan Chong tetapi kemudian, apabila muncul semula, mereka dikejutkan pula dengan ceritanya.

“Apa pun, kita membazirkan banyak masa pihak polis. Kami, bagaimanapun, sedang memeriksa dakwaan beliau diculik,” kata Khalid di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Chong kali terakhir dilihat pada 5 April. Beliau hilang selama kira-kira 10 hari, mencetuskan pencarian di seluruh negara.

Chong kembali ke Kuala Lumpur dari Pattaya, Thailand pada Ahad dan memberitahu diculik ketika berada di Hatyai.

Khalid berkata polis Malaysia menghubungi polis Thailand untuk mengesahkan cerita Chong.

“Kami akan membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya selepas mendapat maklumat daripada pihak polis Hatyai,” katanya.

Kehilangan Chong menyebabkan panik di kalangan orang ramai yang mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan penculikan Pastor Raymond Koh pada 13 Februari dan kehilangan tiga aktivis sosial lain dalam tempoh enam bulan lalu.

Khalid berkata kes Chong tidak mempunyai kaitan dengan empat individu yang hilang, sambil menambah pihak polis masih meneruskan siasatan terhadap semua kes itu.

Selain Koh, tiga aktivis sosial yang masih hilang ialah Pastor Joshua Hilmy dan isteri Ruth serta Amri Che Mat, pengasas kumpulan masyarakat sivil, Perlis Hope.

Chong memberitahu polis beliau pergi ke Thailand selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang berkata mempunyai maklumat mengenai keberadaan Koh.

Beliau mendakwa diculik ketika tiba di Hatyai oleh dua lelaki yang kemudian menguncinya di dalam bilik hotel selama tiga hari sebelum dibawa ke Pattaya, bandar sejauh 1,000km, di mana beliau dibebaskan.

Chong meminta bantuan polis Pattaya untuk menghubungi Kedutaan Malaysia dan anaknya, Darryl, di Kuala Lumpur.

Chong mengakui tidak sedar seluruh negara mencarinya dan tidak mempunyai akses kepada telefon bimbitnya kerana penculik terbabit mengambilnya bersama pasport dan dompet.

Bagaimanapun, pasportnya dikembalikan semasa beliau dibebaskan. – 18 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen