Negara ini perlukan undang-undang isytihar harta, kata kumpulan anti rasuah


Melati A. Jalil

KERAJAAN perlu memperkenalkan undang-undang pengisytiharan aset bagi semua penjawat awam jika ia berharap untuk memperbetulkan tanggapan umum yang pemimpin negara ini korup, kata kumpulan anti rasuah.

Pengarah Eksekutif kumpulan anti rasuah C4, Cynthia Gabriel mendesak pemimpin negara menjadi contoh dengan mendedahkan aset mereka dalam usaha mengakhiri tanggapan golongan akar umbi mengenai rasuah dalam sektor awam.

“Kita tidak ada undang-undang pengisytiharan aset yang telus di Malaysia, jadi kerajaan perlu ambil langkah serta-merta untuk melaksanakannya, melihat kepada penahanan SPRM membabitkan penjawat awam dan ahli politik hidup dalam kemewahan yang tidak dapat dijelaskan.

“Walaupun Selangor dan Pulau Pinang sudah merangka langkah berhubung perkara itu, banyak lagi yang perlu dibuat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam tempoh berapa bulan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat banyak tangkapan, termasuk penjawat awam berjawatan tinggi, berhubung kesalahan rasuah.

Antara penahanan terbaru SPRM ialah Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly yang ditahan reman lima hari susulan siasatan terhadap kekayaannya.

Pegawai Kanan Komunikasi Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Shaza Onn berkata selain menjadikan pengisytiharan aset sebagai mandatori, proses pengesahan yang kuat diperlukan untuk memastikan maklumat diberi adalah tepat.

“Bagi membolehkan sistem itu bekerja, anda perlu ada proses pengesahan yang kukuh. Tidak mustahil kerana anda boleh bekerjasama dengan bank pusat, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mereka yang ada maklumat mengenai aset seseorang, kerana secara umumnya mereka sudah ada maklumat itu dan proses audit.

“Ada caranya, ia bergantung pada sama ada kerajaan kita mahu lakukannya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini amalan dilakukan menteri untuk mengisytiharkan aset mereka kepada perdana menteri tidak cukup kuat kerana ia hanya prosedur dalaman.

Dalam laporannya bertajuk, “Bagaimana Sistem Pengisytiharan Aset Malaysia boleh ditingkatkan bagi membantu perangi rasuah”, Shaza menggariskan beberapa syor termasuk satu undang-undang mandatori bagi menteri dan ahli Parlimen termasuk senator untuk isytihar aset kepada jawatankuasa Parlimen yang berkecuali daripada Eksekutif.

Pengisytiharan itu kemudian akan disahkan oleh SPRM.

Laporan itu berkata SPRM perlu menjadikan semua maklumat tersedia kepada umum jika kepimpinan di negara ini betul-betul serius membaiki tanggapan mereka rasuah.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Akhbar Satar berkata kepimpinan tiga cabang kerajaan – eksekutif, perundangan dan kehakiman perlu mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM bagi meredakan kebimbangan masyarakat berkaitan ketelusan dalam kerajaan.

Katanya, amat penting bagi ketua SPRM sendiri mengisytiharkan asetnya kepada Parlimen.

“Pengisytiharan aset ini akan dibuat selaras dengan kepercayaan yang ketelusan dan kebertanggungjawaban bermula dari atas.

“Pendedahan aset tidak hanya sepatutnya dibuat sebelum dan selepas menjawat jawatan, tetapi secara berkala dengan analisis nilai bersih direkodkan oleh SPRM,” kata Akhbar. – 17 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen