Amanah jadi PAS versi Nik Aziz


Zulkifli Sulong

AMANAH sememangnya adaptasi daripada PAS zaman Nik Aziz Nik Mat yang disayangi ramai, kata bekas setiausaha politik kepada Presiden PAS sekarang, Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi berkata Hadi mempunyai kualiti berbeza jika dibandingkan dengan Nik Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan itu.

“Hadi lebih memberikan tumpuan kepada isu antarabangsa, jadi beliau berjaya membina nama baik PAS di kalangan parti dan gerakan Islam antarabangsa.

“Nik Aziz pula hanya memberikan tumpuan pada Kelantan dan dalam negara saja. Di samping itu, beliau ada sentuhan tersendiri sehingga semua orang Kelantan khasnya sangat sayang kepadanya,” kata Syed Azman yang juga Adun Batu Burok.

Sehubungan itu, Syed Azman berkata beliau faham dan bersetuju mengapa bekas naib presiden PAS, Husam Musa melabelkan parti Islam itu sebagai “PAS Hadi” dan “PAS Nik Aziz” ialah zaman ia dipimpin bekas mursyidul am itu.

Syed Azman berkata label yang diberikan Husam itu ada kebenarannya namun Hadi ada kelebihan tersendiri.

Husam yang kini menyertai Amanah sebelum ini berkata PAS sebagai parti Islam sudah berbeza sama sekali.

Katanya, Amanah adalah “PAS Nik Aziz” yang berjaya memerintah Kelantan sehingga akhir hayatnya tetapi parti pasca Nik Aziz sedang menghadapi zaman kesuraman.

Sementara itu, penganalisis politik Kelantan Dr Khairudin Damanhoeri berkata kepada The Malaysian Insight, “PAS Hadi mesra Umno, manakala PAS Nik Aziz lawan Umno”.

Bekas ketua cawangan PAS selama 33 tahun, Mohd Nordin Adam pula berkata parti itu kini sudah berbeza kerana “PAS Nik Aziz” lebih rapat dengan rakyat.

Nordin dan ahli jawatankuasa serta ahli cawangan Kampung Laut, Tumpat membuat keputusan membubarkan cawangan itu kerana tidak berpuas hati dengan PAS sekarang yang tidak mesra rakyat.

“Saya masih ingat lagi ketika Nik Aziz jadi menteri besar, beliau akan segera ke mana saja apabila mendengar rakyatnya dalam kesusahan,” katanya.

Pemimpin veteran itu kesal dengan tindakan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan pusat menjalankan projek Kampung Warisan tanpa berbincang terlebih dulu dengan mereka.

Syed Azman berkata kelebihan Nik Aziz adalah sentuhannya dalam mengendalikan rakyat Kelantan.

“Dengan perwatakan dan peribadinya, apa saja kekurangan dan kelemahan dapat ditangani dengan kezuhudan dan rakyat Kelantan sangat sayang dengannya walaupun Kelantan tiada lebuh raya dan jalannya sesak.

“Rakyat Kelantan sanggup balik kampung setiap hari raya dengan meredah 10-15 jam perjalanan dalam keadaan jalan raya sesak, namun mereka boleh terus menerima Nik Aziz sebagai menteri besar.

“Setiap kali pilihan raya pula mereka balik untuk mengundi beliau kerana sayangkannya sehingga beliau mampu bertahan sehingga ke akhir hayatnya sebagai menteri besar,” kata Syed Azman yang juga bekas pensyarah sains politik Universiti Malaya.

Adun Batu Burok Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (kanan) berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan bekas mursyidul am PAS, Nik Aziz Nik Mat mempunyai kualiti yang berbeza. – Gambar The Malaysian Insight, 17 April, 2017.

Katanya, Nik Aziz juga diterima semua pihak, kawan dan lawan dalam politiknya bahkan artis juga menyayanginya.

“Nik Aziz dekat dengan rakyat dan ada sentuhan tersendiri yang menyebabkan semua orang sayang kepadanya termasuk sami Buddha, paderi Kristian dan Orang Asli.

“Malah, Karpal Singh yang selalu kata ‘over my dead body’ jika mahu laksanakan hudud juga pergi ke rumahnya dan potong kek hari jadi di sana,” kata Syed Azman.

Selepas ketiadaan Nik Aziz, perubahan sikap terhadap Kelantan boleh dilihat dengan jelas di kalangan pegawai kerajaan negeri, orang politik dan orang luar Kelantan termasuk di Kuala Lumpur.

“Mereka sudah berani kritik Kelantan secara terbuka, tiada lebuh raya, banyak sampahlah, tak berjaya selesai masalah air dan sebagainya.

Dulu semua itu ada juga, tetapi mereka tidak mengkritik secara terbuka dan berpuas hati hanya dengan berjumpa Nik Aziz saja,” katanya.

Kes terbaru ialah cara kerajaan negeri Kelantan melayan Orang Asli di Gua Musang menjadi isu di peringkat antarabangsa terutama di kalangan pejuang hak asasi manusia dan alam sekitar.

Dan semua ini berlaku selepas ketiadaan Nik Aziz. – 17 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen