Pakatan Harapan akan hentikan BR1M, GST, kata Dr Mahathir


Muzliza Mustafa Chan Kok Leong Low Han Shaun

PAKATAN Harapan (PH) secara perlahan-lahan akan mengurangkan pemberian wang tunai di bawah Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dan menurunkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika ia berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

Dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insight, Penasihat Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad berkata ia akan mengambil masa untuk mengubah pemikiran rakyat mengenai BR1M.

BR1M dan GST diperkenalkan Perdana Menteri Najib Razak pada 2012 dan 2015.

“Kami akan melakukannya perlahan-lahan, kerana sebagaimana anda tahu, Najib berjaya merosakkan seluruh negara dan kini seluruh negara suka mendapat wang percuma. Jika anda berhenti memberikan wang percuma, mendapatkan wang tanpa bekerja, tanpa pendapatan, maka rakyat akan kecewa.

“Untuk mengubah cara berfikir orang yang sudah korup  untuk menjadi orang jujur ​​akan mengambil sedikit masa,” kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir turut menyentuh mengenai pelaburan China di Malaysia dan bagaimana ia begitu berbeza daripada jenis pelaburan langsung asing yang beliau galakkan semasa pentadbirannya.

Dalam temubual selama sejam itu, beliau berkongsi pandangan mengenai keadaan ekonomi semasa dan bagaimana untuk memperbaikinya.

Di bawah ini adalah petikan temubual itu:

S: Apakah rancangan PH untuk menangani penurunan ringgit dan isu BR1M serta GST?

Dr Mahathir: Kami percaya dengan penyingkiran Najib sahaja akan membantu memulihkan ekonomi. Nilai wang akan kembali dan orang akan melabur di negara ini. Kerana tahu mereka tidak akan membayar wang tambahan bagi pelaburan dan ia akan menguntungkan.

Terdapat ramai di antara kita (dalam PH) mempunyai banyak pengalaman menarik pelaburan langsung asing. Pelabur tempatan, mereka kenal kami dan tahu apabila kita  memegang tampuk kerajaan, mereka berasa selesa.

Jadi, rasa selesa yang mereka pernah alami sebelum ini, hanya dengan mengeluarkan Najib, akan ada sumbangan besar ke arah pemulihan ekonomi.

Tetapi kita juga mempunyai banyak idea lain yang hanya akan kami (kongsi) apabila berkuasa. Jika kita katakan sekarang, mereka akan datang dengan beberapa cadangan balas.

Sebagai contoh, mereka gagal mencapai Wawasan 2020. Oleh itu, mereka cuba untuk mengalihkan perhatian dengan memperkenalkan sesuatu pada 2050.

Saya tidak fikir Najib tahu apa-apa mengenai bagaimana memulihkan ekonomi. Setiap langkah yang dilakukan bertentangan dengan pertumbuhan negara ini.

S: Adakah PH akan membatalkan GST dan BR1M?

Dr Mahathir: Perlahan-lahan, kerana anda tahu, Najib berjaya merosakkan seluruh negara. Sekarang seluruh negara suka mendapat wang percuma. Jika anda memberhentikan wang percuma, mendapatkan wang tanpa bekerja atau pendapatan, maka orang akan kecewa. Menukar cara berfikir orang yang sudah korup untuk menjadi orang jujur ​​akan mengambil sedikit masa.

Jadi, kita akan mengurangkan semua perkara ini. BR1M, misalnya, adalah lanjutan daripada sokongan biasa kita berikan kepada orang yang sangat miskin dan kurang upaya. Kami memberi wang kepada mereka setiap bulan, tetapi Najib memberikan kepada lebih ramai orang. Sehinggakan, kerajaan kini tidak mempunyai wang untuk pembangunan.

S: Anda membuka subjek berasingan tadi, iaitu bagaimana untuk menangani pelaburan ringgit yang jatuh dengan mengatakan Najib tidak mampu membawa masuk wang. Tetapi di bawah Najib, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) meningkat, jadi bagaimana?

Dr Mahathir: Tetapi kita perlu tahu apakah komponen yang membentuk KDNK. Anda lihat, jika kerajaan membelanjakan wang atau kerajaan membawa masuk pelabur asing untuk membeli tanah di Malaysia, adakah ia termasuk dalam KDNK sebagai pelaburan langsung asing?

Jadi, kami ingin tahu komponen yang membentuk angka itu, sama ada ia benar-benar sesuatu yang menyumbang kepada pembangunan negara atau tidak.

Kebanyakan rakyat di bawah mengadu mereka tidak boleh menjalankan perniagaan. Mereka mendapati banyak halangan, prosedur birokrasi dan semua itu, yang menjadikan ia sukar bagi mereka menjalankan perniagaan. Jadi, mereka tidak dapat menjalankan perniagaan, dan oleh itu tidak menyumbang kepada KDNK dan ia dilihat semakin meningkat.

Najib pergi ke China dan mendapat pelaburan sebanyak AS$140 bilion. Pelaburan dalam apa?

Dengan hanya membeli tanah di sini, saya fikir kita boleh menjual negara ini kepada sesiapa sahaja yang kita suka dan mempunyai KDNK yang besar. Tetapi kita mahu tahu apa yang menyumbang kepada KDNK itu. Berterus-terang mengenainya, beri peratus sumbangan, barulah tahu sama ada kita benar-benar berkembang atau tidak.

Rakyat yang berada di bawah tidak merasai kesan  pertumbuhan ekonomi.

S: Apakah perbezaan di antara FDI yang datang dari China dan FDI di zaman anda, perkongsian dengan Jepun dan Korea Selatan?

Dr Mahathir: Pelaburan langsung asing adalah membawa masuk modal dan teknologi serta menubuhkan industri yang produktif di negara ini untuk membekalkan output domestik kepada pasaran asing.

Tetapi sekarang pelaburan langsung asing adalah tentang membeli tanah di Malaysia, dan rakyat tidak mendapat pekerjaan apabila tanah ini dibangunkan. Malah ia bukan untuk mereka diami.

Itu bukan FDI. Pembelian tanah tidak boleh dijadikan FDI, di mana-mana negara. Jika anda menjual negara, dan anda mengatakan ia FDI ia akan menjadi sangat besar.

Kami mempunyai banyak tanah di Malaysia dan kita boleh terus menjadi sebuah negara maju dan kaya, tetapi tanah itu tidak akan menjadi milik kita.

S: Dan perbezaan antara FDI dari Jepun pada masa dahulu?

Dr Mahathir: FDI dari Jepun, seperti yang saya katakan, adalah mengenai menyediakan industri di sini, menggaji rakyat Malaysia di peringkat pengurusan, mengeksport produk, pendapatan pertukaran asing dan juga memenuhi keperluan tempatan.

Itulah FDI. Mereka hanya dibenarkan membeli tanah di mana terletaknya kilang itu.

Tetapi di sini anda menjual kawasan besar tanah untuk orang membangunkan bandar sendiri untuk diri mereka sendiri. Terdapat perbezaan dan ia bukan FDI yang kita gambar apabila kita mula mempelawa pelabur asing datang dan melabur di Malaysia.

S: Anda dikaitkan dengan isu pertukaran asing Bank Negara, skandal Maminco dan Perwaja Steel. Apakah perbezaannya dengan 1MDB?

Dr Mahathir: Mereka perlu membenarkan saya membawa perkara ini dalam perbahasan, tetapi mereka menggunakan polis untuk menghentikan perbahasan.

Sudah tentu, kerajaan mengatakan teruskan dan kemudian memberitahu pihak polis agar tidak membenarkan mereka kerana ia akan menyebabkan masalah. Jadi itulah cara kerajaan tidak memberi peluang kepada saya untuk menjawab semua soalan ini.

1MDB tidak sama seperti BMF.

S: Bukan BMF tetapi pertukaran wang asing Bank Negara…

Dr Mahathir: Ia sama. Ini dilakukan dengan Bank Negara dan Bank Negara ditugaskan menguruskan rizab kami. Mereka berasa wang yang mereka masukkan ke dalam bon yang mereka beli, turun naik. Dan mereka mahu membuat wang daripada dagangan.

Dalam perdagangan sudah tentu, ada masanya rugi dan kadang-kala untung. Apabila berjaya menjana wang, tiada siapa mengadu, tetapi apabila kehilangan wang, maka sudah tentu ada aduan besar. Tetapi itu adalah keputusan Bank Negara. Saya tidak terlibat menguruskan Bank Negara.

Mereka memberitahu saya dan mereka berkata ini baik. Jadi, saya tidak memberitahu mereka “anda jangan lakukan ini atau itu”. Itu bukan cara Bank Negara berfungsi kerana mereka hampir bebas.

Bagaimanapun, mereka dihukum dan gabenor serta timbalan terpaksa meletak jawatan. Jadi, tindakan sudah diambil terhadap mereka.

Ia berlaku pada zaman saya tetapi saya tidak melakukan perkara ini. Saya tidak menghilangkan wang. Bank Negara yang kehilangan wang.

Maminco adalah satu percubaan membawa balik wang itu dan mereka membawa beberapa balik jumlah tertentu. Saya terbuka. Anda boleh melakukan sebarang penyiasatan atau Suruhanjaya Siasatan Diraja. Anda boleh lakukan, tetapi saya tidak terlibat.

Bagaimanapun, Najib terlibat secara langsung dalam 1MDB. Tiada transaksi boleh dibuat tanpa kelulusannya dan oleh itu, beliau bertanggungjawab. Jadi, jika 1MDB melakukan kesilapan, beliau bertanggungjawab. Saya tidak bertanggungjawab bagi Bank Negara.

Mereka harus membenarkan saya membahaskan perkara ini, tetapi mereka takut. – 9 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen