Dr Mahathir tak minat jawatan perdana menteri


Chan Kok Leong Muzliza Mustafa Low Han Shaun

INI adalah apa yang kita tahu: Dr Mahathir Mohamad tidak berminat untuk berkhidmat sebagai perdana menteri lagi walaupun secara interim jika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan akan datang. Tetapi beliau mahu menduduki kedudukan tidak rasmi sebagai penasihat kepada perdana menteri.

Bagaimanapun, ia tidak diketahui sehinggalah selepas pilihan raya akan datang: Calon perdana menteri pembangkang atau dasar utamanya untuk memulihkan Malaysia.

Puncanya: Pengumuman calon perdana menteri boleh mengakibatkan perbalahan dalaman di kalangan parti komponen dan menjejaskan peluang PH menawan Putrajaya, Dr Mahathir memberitahu The Malaysian Insight baru-baru ini.

“Kita mungkin menamakan calon yang mungkin tidak disukai oleh satu pihak lain. Maka kita akan menghabiskan masa berhujah dan bertengkar mengenainya dan akhirnya, kita akan kalah,” kata Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu juga berkata pakatan pembangkang PKR, DAP, Amanah dan partinya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak akan menggariskan dasar atau idea untuk memulihkan negara ini, sambil menambah sebarang pendedahan akan menyebabkan pentadbiran Najib membuat serangan balas terhadap rancangan ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata penyingkiran Perdana Menteri Najib Razak sahaja akan menyebabkan nilai ringgit  semakin meningkat dan ekonomi pulih.

“Kami mempunyai banyak pengalaman dalam menarik pelaburan asing atau langsung. Mereka mengenali kami, mereka tahu apabila kita memegang tampuk kerajaan, mereka akan berasa selesa,” katanya yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Keengganan pembangkang menamakan calon perdana menteri dan menggariskan inisiatif dasar utama sekiranya ia berkuasa  akan mengecewakan masyarakat sivil.

Aktivis sosial mendesak PH mengumumkan Kabinet bayangan atau memperkenalkan pasukan kepimpinan utamanya.

Langkah ini akan membolehkan pengundi membuat pilihan lebih bijak serta mendesak pembangkang bagi berhadapan dengan isu sukar sebelum pilihan raya.

Masyarakat awam percaya jika soalan sukar terbiar tidak diselesaikan, ia boleh menjadi barah selepas pilihan raya dan menyebabkan ketidakstabilan serta ketidakpastian selepas pilihan raya Malaysia.

Ia adalah satu rahsia terbuka mengenai wujudnya perjanjian kecil di kalangan parti mengenai siapa seharusnya mengetuai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

DAP dan sebahagian besar PKR percaya isteri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, perlu memegang jawatan perdana menteri sehingga Anwar diampunkan dan dibebaskan daripada penjara, di mana beliau dihukum atas kesalahan meliwat.

Bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yasin dikata seorang daripada calon perdana menteri, begitu juga Menteri Besar Selangor Azmin Ali.

Beberapa minggu kebelakangan ini, nama Dr Mahathir berlegar di kalangan PH, dengan penyokongnya dikatakan menamakan beliau sebagai perdana menteri interim yang akan memenangi hati pengundi Melayu serta pengundi atas pagar.

Ia masih tidak jelas apa kedudukan Anwar berhubung soal kepimpinan. Beliau masih mempunyai pengaruh besar walaupun dari sel di Penjara Sungai Buloh dan seolah-olah menentang sebarang percubaan keputusan paksaan majlis PH ke atasnya.

Di bawah ini adalah petikan daripada temubual itu:

S: Bagaimana anda menilai jumlah kehadiran di ceramah anda?

Dr Mahathir: Bilangan orang yang hadir agak besar. Seperti di Kelantan, sebanyak 12,000 yang datang.

S: Adakah anda gembira dengan keadaan ini?

Dr Mahathir: Saya fikir jika anda pergi dan bercakap dan hanya 100 orang yang hadir, anda akan berputus asa, jadi saya sepatutnya berasa gembira.

S: Adakah terdapat tempat yang anda beri ceramah dan merasakan sesuatu tidak kena?

Dr Mahathir: Setakat ini, tidak. Walaupun di beberapa kubu kuat Umno di Terengganu dan Melaka, jumlah keluar pengundi amat besar dan mereka yang biasa bercakap di sana memberitahu biasanya bilangan pengundi yang hadir di kawasan kononnya kubu Barisan Nasional (BN) sangat rendah. Tetapi orang yang sama ini sedar lebih ramai yang hadir sekarang.

Kami juga menyedari ramai di antaranya daripada Umno. Kita mengetahuinya kerana pihak penganjur tahu yang mana daripada Umno atau tidak.

S: Adakah kehadiran mereka ini kerana faktor Dr Mahathir?

Dr Mahathir: Ia boleh jadi, boleh jadi.

Walaupun saya penceramah terakhir, mereka seolah-olah bersedia  berdiri di tempat terbuka dan mendengar apa yang saya katakan sebelum pulang ke rumah.

S: Apa yang perlu PH lakukan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang?

Dr Mahathir: Secara umumnya, kita memerlukan sokongan dan simpati rakyat. Tetapi mereka tidak semestinya perlu menyertai parti, kerana kerajaan akan mengganggu dengan menghantar (Lembaga Hasil Dalam Negeri) LHDN, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memburu mereka atau mengambil kontrak kecil.

Sebaliknya, kita tahu mereka menyokong, kerana walaupun apabila saya pergi ke kompleks membeli-belah atau mana-mana, mereka datang kepada saya untuk mengucapkan terima kasih, dan mereka menyokong saya.

S: Apakah perbezaan di antara PH dan BN?

Dr Mahathir: BN dikuasai Umno. Dan agak kerap, ia adalah urusan Umno sementara yang lain tidak terlibat, tetapi mereka itu dijangka menurut apa dikatakan Umno. Di sini dalam pembangkang, kita mempunyai pakatan sama rata dan menghormati martabat pemimpin.

S: Sudahkah Bersatu mengenal pasti kerusi yang mereka harap untuk bertanding pada PRU-14?

Dr Mahathir: Kami mempunyai idea umum yang kita harus berada di kawasan di mana Umno menang sebelum ini. Ini kerana ramai penyokong kami daripada Umno.

Dan kami berharap walaupun sebahagian daripada mereka secara terbuka menyertai kami, ada yang mungkin hanya secara senyap menyokong.

S: Adakah Bersatu mengintai mana-mana negeri tertentu?

Dr Mahathir: Saya belum dan tidak membuat keputusan, kerana anda tahu, akan ada pihak yang mungkin mahu diri mereka memimpin negeri ini.

S: Adakah rundingan kerusi sudahpun bermula dalam PH?

Dr Mahathir: Tidak, belum lagi.

S: Soalan ini sudah ditimbulkan beberapa kali tentang PH dan calon mereka bagi perdana menteri. Mengapa begitu sukar meletakkan nama sekarang lebih awal?

Dr Mahathir: Kami mungkin menamakan calon, yang mungkin tidak disukai sesetengah pihak yang lain. Dan kemudian kami akan menghabiskan masa berhujah dan bertengkar mengenai calon ini, dan pada akhirnya kami akan kalah.

Kita mahu menang dan tidak mahu untuk membawa masuk kontroversi tanpa sebab.

Dr Mahathir: Saya mendengar mengenai cadangan itu dan harus mengakui saya mahu memainkan beberapa peranan. Ia akan mencukupi jika saya mempunyai kesempatan berkomunikasi dengan perdana menteri dan kerajaan, mungkin sebagai penasihat tidak rasmi. – 9 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tq tun, we will support you..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan