Dr Mahathir dan dilema Melayu


Low Han Shaun Chan Kok Leong Muzliza Mustafa

DR Mahathir Mohamad kesuntukan masa dan beliau mengetahuinya. Beliau sedar hanya mempunyai satu lagi peluang untuk memujuk orang Melayu membelakangkan Umno dan Perdana Menteri Najib Razak.

Begitu banyak yang perlu dilakukan dan masa yang sedikit – itulah dilema tokoh yang membuatkan sebahagian masyarakat Melayu dalam dilema yang menjadi perbualan rakyat sejak lebih 40 tahun.

Dalam satu temu bual, pengasas berusia 91 tahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu The Malaysian Insight: “dilema saya ialah saya sudah tua, sudah berusia lebih 90 tahun dan saya tidak mempunyai banyak masa. Tetapi semua perkara mengambil masa…tetapi selagi saya masih hidup, saya akan menjadi duri dalam daging orang lain. Saya tidak peduli.”

Bekas presiden Umno itu berkata, beliau mengakui semakin bersemangat kehadiran menggalakkan pada perhimpunan politik, mempercayai ia petunjuk perasaan gelisah yang bergolak di kalangan pengundi terhadap pentadbiran Najib. Beliau berkata malah di kubu kuat Umno, beliau juga disambut mesra.

Kini, beliau mahu sokongan di setiap sesi ceramahnya menjadi sokongan di peti undi. Beliau memahami rakyat Malaysia mungkin takut menunjukkan sokongan secara terbuka untuk Pakatan Harapan (PH) kerana bimbang diganggu serta takut dengan agensi kerajaan.

Tetapi beliau berharap ketakutan ini akan hilang sebaik sahaja mereka berada di dalam petak mengundi.

Pada 1970, Dr Mahathir menulis buku Malay Dilemma. Ia sebuah buku kontroversi pada masa itu dan andaian utama adalah orang Melayu ditakluki di negara sendiri dan memerlukan bentuk tindakan afirmatif untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi.

Generasi Melayu hari ini perlu menghadapi dilema yang berbeza, katanya.

“Mereka tahu parti yang sepatutnya menjaga mereka menjadi liabiliti, tetapi mereka tidak boleh menyingkirkan parti ini, kerana mereka memilih orang yang mampu menggunakan undang-undang, tidak mengambil peduli akan undang-undang, dan memastikan kesetiaan peribadi terhadapnya. Sehinggakan, beliau boleh melepaskan diri daripada banyak perkara. “

Berikut adalah petikan temubual itu:

S: Bagaimana perjuangan terhadap Najib berbeza daripada penentangan terhadap Tunku dan Pak Lah?

J: Orang ini (Najib) mendapat kawalan penuh ke atas Umno. Mereka tidak akan melawannya. Beliau mempunyai ketua polis negara dan peguam negara berkerja untuknya dan melindunginya.

Beliau sebenarnya, diktator. Tunku bukan seorang diktator. Beliau dipilih kerana popular, dan beliau meletakkan jawatan apabila berasa tidak lagi popular. Abdullah menyedari beliau tidak begitu popular di kalangan Umno sendiri dan membuat keputusan sendiri untuk meletak jawatan.

Tetapi Najib tidak akan meletakkan jawatan.

S: Sesetengah pihak mengatakan anda patut dipersalahkan kerana melemahkan beberapa institusi dan memusatkan kuasa dalam Pejabat Perdana Menteri. Apa pendapat anda?

J: Banyak perkara dikatakan tentang saya dan pentadbiran saya, yang dilakukan mereka yang mahu saya keluar. Mereka perlu memburuk-burukkan saya, jika tidak, saya akan berada di sana sepanjang masa, disokong oleh rakyat.

Jadi mereka mesti memberi gambaran sangat buruk tentang saya, untuk membuat saya kelihatan seperti seorang diktator dan segala-galanya. Jika saya diktator, maka ramai yang mungkin akan berakhir di dalam (penjara), tetapi saya membenarkan mereka bebas melalui mahkamah. Mereka berdemonstrasi terhadap saya setiap minggu.

Kerana itu adalah cara demokrasi dan saya tidak pernah menyaman sesiapa. Mereka memanggil saya bermacam nama tetapi saya tidak pernah menyaman mereka. Dalam politik, sudah tentu, orang akan memanggil anda dengan nama jahat. Itu perkara biasa.

S: Satu tinjauan dibuat TMI mengatakan populariti anda di kalangan pengundi Melayu tidak tetap kerana anda kini bekerjasama dengan DAP.

J: Justeru, kita sudah menetapkan fikiran mereka ini yang kini dalam Umno dan memberitahu DAP adalah parti Cina dan mereka adalah syaitan. Ia sukar untuk memadamkan kesan itu.

Oleh itu, apabila saya dilihat bersama Kit Siang, mereka fikir saya dengan syaitan, tetapi syaitan yang dicipta oleh saya untuk memenangi pilihan raya.

Jika anda memberitahu orang Kit Siang seorang lelaki yang baik dan semua itu, maka beliau akan menang dan kita tidak boleh membenarkan beliau menang. Kami terpaksa memanggilnya syaitan dan cauvinis Cina dan bermacam perkara, tetapi sebenarnya beliau tidak begitu.

Antara MCA dan DAP, MCA menyanyi lagu mereka dalam bahasa Cina, mengadakan mesyuarat dalam bahasa Cina, tetapi DAP mengadakan mesyuarat mereka dalam bahasa kebangsaan dan menyanyikan lagu mereka dalam bahasa kebangsaan.

Jadi, DAP lebih Malaysia daripada MCA. MCA kini seperti yang anda tahu, mempunyai hubungan dengan Parti Komunis China, bukannya DAP.

S: BN mengatakan anda melakukan ini supaya Mukhriz (Mahathir) akan menjadi perdana menteri satu hari nanti.

J: Jika saya mahu melakukan sesuatu untuk anak saya, saya boleh menjadikan beliau timbalan perdana menteri semasa saya menjadi perdana menteri. Tetapi saya tidak membenarkan anak saya menyertai parti.

Anak saya Mokhzani, dilantik oleh Hishammuddin (Hussein) sebagai bendahari Pemuda, bukan kerana saya, kerana beliau mengetahui tentang akaun.

Anak saya Mirzan tidak kelihatan dalam parti atau di mana-mana, dan anak perempuan saya Marina menentang saya semasa saya menjadi perdana menteri.

Tetapi anda lihat Najib, majlis perkahwinan anak perempuannya menelan berjuta-juta dolar.

Jadi anda nampak beliau melebihkan anak-anaknya, begitu juga Abdullah Badawi. Saya tidak pernah melebihkan anak-anak saya.

S: Tetapi Mukhriz kini memegang salah satu kedudukan teratas dalam Bersatu?

J: Mukhriz membina reputasi di Kedah dan beliau memenangi semula Kedah daripada PAS. Ia adalah kepimpinan beliau. Dan ia bukan kerana saya.

Selepas saya meletak jawatan, jika saya menghalangnya menjadi pemimpin adalah tidak adil kepadanya. Saya tidak cuba mengekalkan reputasi baik saya dengan tidak menjejaskan beliau, saya lakukan itu ketika saya menjadi perdana menteri, tetapi saya tidak boleh berbuat demikian sekarang.

Saya masih cuba mengekalkan imej saya agar tidak bersikap nepotisme. Jika Mukhriz berjaya, ia adalah dengan kerja keras beliau.

S: Jika pembangkang tidak berjaya mengalahkan BN pada pilihan raya akan datang, apa yang akan anda lakukan?

J: Saya akan menerima hakikat saya akan mati dan meninggalkan semua perkara ini kepada orang lain. Itu adalah perkara yang biasa berlaku. Anda sudah tua dan anda akan mati. Saya banyak pasti ramai yang berharap saya mati sekarang.

Tetapi selagi masih hidup, saya akan menjadi duri dalam daging orang lain, saya tidak peduli. – 8 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen