'Kejayaan' PAS dirai gembira ahli parti


Zulkifli Sulong

Sebahagian penyokong PAS yang berada di luar Parlimen bagi menanti pembentangan RUU355 oleh Presiden Abdul Hadi Awang semalam. – The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 April, 2017.

PARA penyokong PAS sejak malam tadi masih meraikan kejayaan Presiden Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355 semalam, di Dewan Rakyat walaupun ia ditangguhkan.

Tulisan dalam media sosial, blog, perbualan di kedai kopi serta komen di Facebok membayangkan kegembiraan mereka walaupun mendapat bantahan wakil rakyat DAP sebelum Hadi membentangkannya.

“Tiaada ahli Parlimen PAS pernah membawa usul persendirian sehingga sampai ke peringkat ini. Tiada pemimpin PAS  pernah berpeluang mengemukakan satu usul penting yang melibatkan pemerkasaan Syariah seperti ini,” tulis Roslan Shahir, timbalan ketua penerangan PAS Selangor dalam Facebooknya.

Roslan yang pernah ditamatkan perkhidmatannya sebagai setiausaha akhbar presiden PAS pada Julai 2009, memasuki arus perdana PAS semula selepas ia berpecah dan membentuk Amanah.

Menurutnya, Hadi mencipta sejarah apabila ucapannya tidak kurang tiga kali disambut hentakan meja iaitu tanda sokongan ahli Dewan termasuk daripada bangku kerajaan.

Sentimen beliau turut disokong Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

“Maklum balas yang saya dapat daripada ahli adalah mereka sangat berpuas hati apabila usul itu berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Ini menunjukkan PAS boleh bekerja mengikut peraturan dan bukannya seperti didakwa sesetengah pihak yang PAS adalah Taliban atau IS (Islamic State),” kata Idris kepada The Malaysian Insight dalam wawancara melalui telefon hari ini.

Walaupun ia berlangsung tanpa dibahaskan, beliau berpendapat ia langkah positif bagi memberi penerangan mengenai RUU355.

“Ia berjaya menjelaskan gambaran tidak betul dan negatif tentang usul ini terhadap bukan Islam.

“Apa berlaku semalam adalah sesi soal jawab yang dikendalikan dalam suasana baik, mengikut peraturan dan demokratik,” katanya.

Ketika ditanya apakah PAS akan membawa lagi usul ini dalam sidang akan datang, Idris berkata parti akan membincangkannya terlebih dahulu.

“Sama ada kami boleh membawanya sekali lagi, terletak kepada peraturan tetap Dewan,” kata Idris yang juga ahli Majlis Syura PAS.

Bagaimanapun, bukan semua pihak bergembira dengan apa yang berlaku semalam.

Sebagai pihak yang memahami prosedur Parlimen, Mohd Nasir Zakaria, bekas ahli Parlimen Padang Terap, tidak segembira para penyokong PAS lain selepas Hadi berjaya membentangkan usul itu.

“Ia bukanpun bacaan kali pertama. Baru membaca usul dan sokongan, belum lagi dengar perbahasan penuh dan pengundian, ia ditangguhkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Bagaimanapun, ia sesuatu yang positif,” kata Nasir.

Nasir sebenarnya berharap, usul itu dibahaskan semalam dan seterusnya pengundian dibuat.

“Jika majoriti menyokong usul itu, kerajaan perlu mengambil alih dan membawanya bagi Bacaan Pertama,” katanya. –  7 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen