RUU355: Speaker khianati Raja-Raja Melayu, kata Tawfik


LANGKAH speaker Dewan menaikkan usul persendirian RUU355 dalam susunan Aturan Mesyuarat adalah “pengkhianatan” kerana ia mengabaikan hak-hak Raja-Raja Melayu yang sepatutnya dirujuk sebelum undang-undang Islam dibuat, kata bekas ahli Parlimen, hari ini.

Mohamed Tawfik Ismail juga menuduh Speaker Pandikar Amin Mulia bermain politik dengan mengabaikan Perlembagaan, berkata keputusan mengubah kedudukan usul persendirian itu sebagai “keangkuhan tahap tertinggi”.

“Hari ini adalah hari yang menyedihkan bagi rakyat Malaysia. Hari ini Parlimen sudah mati dan negara dibawa ke arah yang berbahaya.

“Speaker bermain politik mengabaikan Perlembagaan dan melakukan pengkhianatan dengan mengabaikan hak Majlis Raja-Raja untuk dirujuk sebelum pengisytiharan mana-mana undang-undang yang akan memecahbelahkan kita sebagai sebuah negara.

“Tindakan speaker mengubah kedudukan usul Hadi dan meletakkannya pada nombor 1 dalam Aturan Mesyuarat adalah keangkuhan tahap tertinggi. Beliau mahu menunjukkan kuasa. Beliau mahu menunjukkan boleh menyalahgunakan kuasa dan tiada sesiapa boleh lakukan mengenainya. Itu yang jelas,” kata Tawfik dalam satu kenyataan pendek dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Tawfik berkata undang-undang yang dicadangkan itu akan mengagalkan “impian satu bangsa bersatu” oleh “mereka yang kita undi dan percayai kebijaksanaan menggubal undang-undang bagi menyatukan kita sebagai sebuah negara.”

“Hari ini, speaker Parlimen melakukan pengkhianatan jika beliau tidak menghiraukan perkara dalam Perlembagaan yang kami dibawa kepada perhatiannya.

“Hari ini rakyat mesti bangkit mengecam speaker jika ahli Parlimen dipilih tidak boleh berbuat demikian.

“Hari ini kita mesti berdiri bersama-sama melindungi negara daripada kejahatan seorang lelaki.

“Hari ini rakyat mesti bangkit untuk melindungi Parlimen,” kata Tawfik, yang merupakan anak Dr Ismail Abdul Rahman, bekas timbalan perdana menteri. – 6 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tawfik ni makin bangang la pulak... ni bukan undang2 baru... menambahbaik.undang2 lama. Tak perlu kelulusan majlis raja2...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan