Kerajaan pertimbang perluas senarai subsidi diesel, kata menteri


PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan untuk menambah beberapa jenis kenderaan pengangkutan barang ke senarai pengangkutan yang layak mendapat subsidi diesel, kata Armizan Mohd Ali.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pihak tertentu telah mengemukakan permohonan secara langsung kepada kementerian untuk mempertimbangkan penambahan beberapa jenis kenderaan barangan dalam senarai layak mendapat subsidi diesel di bawah SKDS 2.0.

“Cadangan lain yang dikemukakan termasuk menambah kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan ekspres.

“KPDN sedang meneliti semua ini, dan ia akan segera dikemukakan untuk pertimbangan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel, yang merangkumi KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan Jawatankuasa Rayuan (di bawah Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel) seterusnya akan mengemukakan syor untuk semua rayuan untuk pertimbangan dan keputusan oleh Kabinet.

Kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter berkuat kuasa 10 Jun lalu di bawah sistem subsidi bersasar.

SKDS ialah platform khusus untuk kenderaan awam dan barangan terpilih untuk terus menerima subsidi diesel melalui kad fleet.

Sejak apungan harga diesel pada Isnin dilaporkan beberapa syarikat telah memaklumkan kepada pelanggan mereka tentang semakan harga susulan pengumuman kerajaan bahawa harga diesel akan diapungkan dan dijual pada harga RM3.35 seliter mulai tengah malam semalam di seluruh negara.

Harga diesel yang diumumkan pada 5 Jun lalu ialah RM2.15 seliter.

Dalam notis yang dikeluarkan kepada pelanggannya, sebuah syarikat pembekal konkrit di Temerloh, Pahang berkata mereka menjangkakan kenaikan harga bahan mentah dan pengangkutan berikutan kenaikan harga diesel.

Syarikat itu berkata, disebabkan itu, semua harga konkritnya juga akan dinaikkan, manakala caj tambahan akan dikenakan untuk penghantaran di luar radius 30km.

Dalam satu lagi notis yang dilihat oleh The Vibes, seorang pengendali trak tunda berkata berikutan kenaikan harga diesel, semua caj tunda juga akan dinaikkan. – 12 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen