Indonesia anjur latihan tentera laut Komodo bersama 36 negara


Pesawat tentera laut Indonesia, Bonanza mengadakan persembahan ketika acara pembukaan Latihan Tentera Laut Pelbagai Hala Komodo ke-4 di Makassar. – Gambar AFP, 6 Jun, 2023.

INDONESIA menganjurkan Latihan Tentera Laut Pelbagai Hala Komodo (MNEK) bersama 36 negara lain termasuk Amerika Syarikat, China, Russia dan Malaysia.

MNEK merupakan latihan bukan perang bertujuan mengukuhkan kerjasama maritim di kawasan serantau dengan negara sahabat, menurut Tentera Laut Indonesia (TNI AL) dalam satu kenyataan.

Bertempat di Pelabuhan Soekarno Hatta, Makassar, Sulawesi Selatan, peserta melaksanakan latihan pengurusan bencana serta operasi kemanusiaan.

Latihan selama empat hari sehingga Khamis yang bertemakan “Partnership To Recover And To Rise Stronger” dirasmikan Panglima Tentera Indonesia Laksamana Yudo Margono hari ini.

Kegiatan lain termasuk Ice Breaking, kajian Armada antarabangsa, Simposium Keselamatan Maritim Antarabangsa, lawatan, perarakan bandar, Fun Bike, Admiral Lunch, mesyuarat dua hala, jamuan makan malam, pameran Maritim dan makan malam Gala.

MNEK 2023 memasuki siri keempat, tertunda akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Ia pertama kali dilaksanakan pada 2014 di Batam, Kepulauan Riau; Padang, Sumatera Barat pada 2016; dan Lombok, Nusa Tenggara Barat pada 2018. – Bernama, 6 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen