Agihan kerusi Pakatan, BN di Terengganu selesai, kata Ahmad 


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Ahmad Said berkata proses agihan tersebut selesai dalam tempoh sebulan selepas tiga kali perbincangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

PROSES agihan kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai sepenuhnya, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Ahmad Said.

Beliau berkata proses agihan tersebut selesai dalam tempoh sebulan selepas tiga kali perbincangan dan beliau telah menyerahkan keputusan agihan tersebut kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dimuktamadkan.

“Presiden sama presiden akan bincang. Tunggulah… biar mereka selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PRN 2023 Peringkat Umno Bahagian Marang di Wakaf Tapai, di Marang, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Terengganu, Azan Ismail.

Katanya,  BN juga telah menyenarai pendek nama-nama calon yang bakal bertanding untuk kerusi DUN Terengganu pada PRN tidak lama lagi.

Sementara itu Ahmad, yang juda bekas menteri besar Terengganu, menafikan laporan akhbar yang mendakwa pihaknya sudah mengumumkan bekas menteri besar Ahmad Razif Abd Rahman, sebagai calon untuk PRN akan datang.

“Saya hanya mencadangkan sebab dia penyandang di kawasan dia. Keputusan terletak pada parti untuk menentukan… kita kata mencadangkan (bukan umum dia calon),” katanya.

Jumaat lepas, sebuah akhbar melaporkan Ahmad Razif diumum sebagai calon pertama mewakili BN untuk bertanding dalam PRN bagi mempertahankan kerusi DUN Seberang Takir.

Selain Terengganu, lima negeri lain akan mengadakan PRN iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.– Bernama, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen