Bekalan dadah sintetik di timur dan tenggara Asia pada tahap ekstrem


Wakil serantau UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Jeremy Douglas berkata kumpulan jenayah di seluruh rantau mula menyambung semula kegiatan jenayah selepas penutupan sempadan pandemik yang panjang, sejak akhir 2022 dan awal 2023. – Gambar AFP, 5 Jun, 2023.

BEKALAN dadah sintetik di Timur dan Tenggara Asia masih berada pada tahap ekstrem dan dilihat semakin pelbagai, menurut laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Laporan baru-baru ini mendapati methamphetamine terus dihasilkan dengan banyak dan diseludup dari dan ke rantau ini manakala pengeluaran ketamine dan dadah sintetik semakin berkembang.

Laporan UNODC juga mengesahkan pengembangan, penghasilan dan penyeludupan dadah sintetik di rantau ini, manakala laluan penyeludupan telah berubah secara ketara.

“Kumpulan jenayah di seluruh rantau juga mula menyambung semula kegiatan jenayah selepas penutupan sempadan pandemik yang panjang, sejak akhir 2022 dan awal 2023,” kata wakil serantau UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Jeremy Douglas.

Kumpulan jenayah antarabangsa menyesuaikan diri dan cuba memintas undang-undang diambil kerajaan serta bekerja di sekitar sempadan Thailand di Golden Triangle tahun lepas ketika negara-negara meningkatkan tindakan memberantas perdagangan dadah.

Mereka menyeludup dadah melalui Laos dan utara Thailand dan mengedarkan bekalan melalui Myanmar ke Laut Andaman.

Menurut laporan, rampasan methamphetamine pada 2022 kembali kepada tahap sebelum Covid-19 dengan hampir 151 tan disita di sempadan darat terutamanya di subwilayah Mekong.

Usaha pelaksanaan undang-undang yang diperketat di Yunnan, China dan di sepanjang sempadan Thailand dengan Myanmar mengakibatkan penurunan tahap rampasan dengan ketara di China dan sedikit penurunan di Thailand.

Selain methamphetamine, rantau ini merampas 27.4 tan ketamine pada 2022, naik 167 peratus daripada tahun sebelumnya dengan semua negara dan wilayah di rantau ini melaporkan peningkatan kecuali Hong Kong, China. β€“ Bernama, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen