Pakatan, BN gabung formula terbaik tawan Kedah, kata Mahfuz 


Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Mahfuz Omar berkata agihan 32 kerusi telah pun disepakati atas semangat perpaduan manakala empat lagi masih dalam rundingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah menggabungkan formula terbaik dalam pengagihan kerusi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar berkata hanya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja lagi masih dalam rundingan manakala selebihnya 32 kerusi telah pun disepakati atas semangat perpaduan.

“Kita telah berjaya menetapkan apa yang telah diputuskan oleh gabungan di peringkat pusat berdasarkan kepada parameter yang perlu diakui semua parti-parti dalam gabungan, status quo kini bukan lagi menjadi penanda aras utama dalam agihan kerusi.

Sebaliknya mengadunkan pelbagai faktor yang boleh memberi kemenangan kepada calon PH mahupun BN. Selain berdasarkan parameter peringkat pusat, kita masih ada ruang untuk perbincangan. Ada kawasan kita gunakan status quo, iaitu kerusi sedia ada yang kita menang atau BN menang, kita tidak usik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan yang masih dalam rundingan akhir dan dijangka dapat diselesaikan menjelang pertengahan Jun ini.

Sementara itu, Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid berkata pengagihan kerusi bersama PH sudah di peringkat akhir dan berharap ia akan memberikan situasi menang-memang kepada kedua-dua gabungan parti politik itu.

“Keputusan terakhir datang dari pucuk pimpinan kedua-dua belah pihak tetapi sebaiknya kita tengok hampir-hampir sama rata (pengagihan kerusi antara BN dan PH).

Kena berunding dan berunding ini emosi kena letak tepi, kalau emosi dengan emosi ia tidak akan jadi. Jadi setakat ini ia baik dan positif dan hampir hendak selesai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis kesyukuran sempena penobatan Balai Polis Kampung Tanjung sebagai Johan dalam Pertandingan Balai Polis Cemerlang anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) tahun 2022 (Kategori Balai Polis Luar Bandar) di Kuala Nerang hari ini. – Bernama, 5 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen