Kes HFMD di Johor naik 1.3 kali ganda


Kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

JUMLAH kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor dilaporkan meningkat 1.3 kali ganda kepada 320 kes pada Minggu Epidemiologi ke-22 (ME22) iaitu bagi tempoh 28 Mei hingga Sabtu lepas, berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata kumulatif kes HFMD di daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 607 kes, diikuti Tangkak (204), Kota Tinggi (167), Batu Pahat (144), Kluang (136), Segamat (121), Pontian (104), Kulai (101), Muar (67) dan Mersing (lima).

“Kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun iaitu sebanyak 1,293 kes, manakala tujuh hingga 12 tahun adalah 202 kes dan selebihnya merupakan mereka yang berumur lebih 13 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata lokasi penularan wabak HFMD di negeri ini dikesan berlaku di tadika iaitu 26 wabak, diikuti oleh taska (enam), pusat jagaan harian (lima), prasekolah (tiga), rumah persendirian (dua), dan sekolah rendah (satu).

Justeru, Ling menyeru rakyat di Johor supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan yang diperlukan bagi mencegah penyakit itu.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat beli-belah dan stesen bas. 

“Selain itu, kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan perlu dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya sambil menambah lima wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri itu. – Bernama, 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen