Wolverin dikesan di California, kali kedua dalam 100 tahun


Wolverin dilaporkan dilihat dua kali di Hutan Negara Inyo dan sekali di Taman Negara Yosemite, AS pada Mei. – Gambar Twitter, 4 Jun, 2023.

SEEKOR wolverin liar dikesan beberapa kali di California bulan lalu, menurut jabatan ikan dan hidupan liar California.

Dalam tempoh dua minggu pada bulan Mei, haiwan itu dilaporkan dilihat dua kali di Hutan Negara Inyo dan sekali di Taman Negara Yosemite, lapor TCA/DPA.

Foto dan video haiwan itu dianalisis oleh pakar perkhidmatan hutan AS dan mengesahkan ia haiwan yang sama berdasarkan perbandingan badan, warna dan pergerakan.

“Wolverin boleh menempuh jarak perjalanan jauh, menjadikan kemungkinan penampakan baru-baru ini adalah haiwan yang sama.

“Pengesanan terbaharu ini sangat menarik berdasarkan hanya dua wolverin disahkan di California dalam tempoh 100 tahun lalu,” kata saintis kanan alam sekitar jabatan ikan dan hidupan liar Daniel Gammons dalam satu kenyataan.

Wolverin tidak pernah dikesan di hutan belantara California sejak 2018 dan karnivor yang sama itu juga dilaporkan pada 2008 di kawasan Truckee di Hutan Negara Tahoe.

Memandangkan wolverin biasanya hidup 12 hingga 13 tahun, penampakan pada 2023 kali ini dipercayai haiwan yang berbeza.

“Sesetengah orang mungkin ada melihatnya tetapi tidak menyedari ia sangat jarang berlaku,” kata jurucakap jabatan ikan dan hidupan liar, Tim Daly.

Julia Lawson, seorang lagi saintis alam sekitar di jabatan itu berkata, rekod menunjukkan kewujudan wolverin di Sierra Nevada sehingga 1922, namun populasi itu pupus akibat aktiviti pemburuan, perangkap dan racun bagi mengelak mereka menyerang ternakan.

Haiwan itu yang secara genetik berkaitan musang dan luak, tersebar luas di Alaska dan Kanada, dengan populasi yang lebih kecil di Washington dan Idaho.

Wolverin boleh menyerupai beruang kecil memandangkan bulu dan saiznya serta disenaraikan sebagai haiwan terancam di bawah akta spesies terancam California.

Mengeksport, membunuh, memiliki atau membeli haiwan itu tidak dibenarkan dan menyalahi undang-undang. – Bernama, 4 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen