Noh Omar yakin Perikatan boleh menang 33 kerusi DUN Selangor


Bekas ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar yakin Perikatan Nasional mempunyai peluang baik memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai peluang baik memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Noh Omar.

Ini kerana undi Melayu tidak lagi berpecah kerana saingan kini satu lawan satu antara PN selepas Pakatan Harapan bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

“Jadi saya yakin PN akan muncul pemenang,” bekas pemimpin Umno itu dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata pada sebuah majlis PN di Sungai Besar malam tadi.

Noh adalah antara veteran Umno yang tidak dicalonkan pada pilihan raya umum lepas.

Bekas menteri itu yang memegang kerusi Tanjong Karang sejak 1995, mendakwa namanya digugurkan kerana mengkritik beberapa keputusan politik dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Januari, MKT Umno menggantung keahlian Noh selama enam bulan sebelum dipecat parti atas permintaannya sendiri. – 2 Jun 2023. 

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen