PRN: Pakatan tumpu rampas Kedah, yakin pertahan 3 negeri


Kata Saifuddin pendekatan terbaik untuk PH adalah memberi fokus kepada Kedah yang kini ditadbir PN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Mac, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) akan memberi tumpuan untuk merampas Kedah yang kini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata selain itu PH akan mempertahan penguasaan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN kali ini.

“Daripada empat negeri tumpuan kita, saya fikir pendekatan yang lebih baik adalah fokus di Kedah. Bila sibuk pertahan Kedah, dia (PN) tak berapa tumpu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Jadi kita kena gerak kekuatan tumpu di Kedah.

“Saya rasa presiden (Anwar Ibrahim) kita tak perlu bertempur pun dengan menteri besar Kedah. Patutnya panglima-panglima PKR ini duduk depan, perdana menteri tidak perlu masuk gelanggang,” katanya.

Setiausaha Agung PKR itu berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang bertemakan “Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme” di Stadium Malawati di Shah Alam hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bagi menghadapi PRN di keenam-enam negeri, PH memerlukan pendekatan agresif dalam usaha meraih sokongan pengundi kepada gabungan yang dianggotai PKR, DAP,  Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah, dua negeri yang turut mengadakan PRN pada tahun ini ialah Kelantan dan Terengganu.

Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut menzahirkan keyakinan bahawa PH mampu mempertahan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dengan majoriti lebih besar pada PRN akan datang hasil daripada dasar yang baik oleh kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

Seorang lagi Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, pula berkata parti perlu bekerja keras untuk menawan Kelantan dan Terengganu meskipun kedua-dua negeri dilihat sukar ditembusi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri di Kelantan dan Terengganu itu berkata rakyat di kedua-dua negeri Pantai Timur berhak mendapat kerajaan yang lebih baik serta mampu membela nasib mereka.

Kongres khas sehari itu menumpukan kepada persiapan parti bagi menghadapi PRN di enam negeri serta pengukuhan kerjasama PH dan Kerajaan Perpaduan, dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan dari seluruh negara termasuk pemerhati. – Bernama, 18 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen