Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS


RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, didorong harga minyak mentah yang lebih tinggi, kata penganalisis.

Beliau berkata ringgit juga bergerak positif memandangkan lebih ramai pelabur mengalihkan minat kepada mata wang negara yang sedang pesat membangun selepas kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah tidak ketara tinggi.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.2960/3005 berbanding dolar AS daripada 4.2995/3055 ketika ditutup pada Selasa.

Semasa laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 1.18% kepada AS$84.68 setong.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama bahawa ringgit meraih manfaat daripada ucapan dalam tempoh semalaman oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell.

Ucapan Powell itu dilihat sebagai kurang cenderung kepada kadar faedah tinggi, berbeza dengan pasaran yang menjangkakannya selepas AS mencatatkan laporan pembayaran gaji bukan ladang yang kukuh baru-baru ini, katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed pula berkata ringgit dijangka kekal stabil bagi minggu ini dan mungkin bergerak di antara 4.28 dengan 4.32 berbanding dolar AS.

“Kami di Juwai IQI menjangkakan dolar AS kehilangan kelebihannya pada April dan Mei selain Fed akan menurunkan kadar faedah menjelang Oktober untuk mengelak kebimbangan mengenai kemelesetan bagi menyokong ekonomi AS.

“Pergerakan ringgit pada 2023 dijangka 4.10 hingga 4.30 dan ia akan mengekalkan kestabilan strukturnya berbanding mata wang utama,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2472/2511 daripada 3.2420/2470 ketika ditutup pada Selasa dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2872/2909 daripada 3.2624/2672.

Ringgit lemah berbanding pound British kepada 5.1990/2045 daripada 5.1624/1696 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.6203/6252 daripada 4.6065/6129. – Bernama, 8 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen