Lawatan Anwar ke Thailand bakal teroka kerjasama baharu


Lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Thailand bermula Khamis ini dijangka memperluas lagi kerjasama sedia ada dan meneroka kerjasama baharu antara kedua-dua negara dalam pemulihan ekonomi pascapandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

LAWATAN rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Thailand bermula Khamis ini dijangka memperluas lagi kerjasama sedia ada dan meneroka kerjasama baharu antara kedua-dua negara dalam pemulihan ekonomi pascapandemik.

Pengarah Pusat Serantau Asean Universiti Malaya (CARUM), Dr Rahul Mishra berkata Malaysia dan Thailand menjalin kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor untuk merangsang pertumbuhan serta pembangunan.

“Untuk mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara, Malaysia dan Thailand boleh meneroka bidang kerjasama baharu termasuk pembangunan infrastruktur pertahanan dan rentas sempadan.

“Dengan kebolehan dan kekuatan pertahanan di rantau ini, Malaysia berminat untuk belajar dan bekerjasama dengan Thailand.

“Bekerjasama dengan negara-negara Asean sudah tentu lebih produktif, bermanfaat dan diyakini,” katanya kepada Bernama.

Rahul berkata Malaysia dan Thailand juga boleh meneroka kerjasama untuk berusaha ke arah melaksanakan projek infrastruktur rentas sempadan.

Malaysia dan Thailand mungkin bersaing dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi kedua-dua negara juga saling melengkapi dalam pelancongan rentas sempadan dan rantaian bekalan.

Malaysia dan Thailand menetapkan sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion (RM126 bilion) menjelang 2025.

Pada 2022 Thailand menjadi rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di dunia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Asean dengan nilai perdagangan berjumlah RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), meningkat 17.9 peratus berbanding yang direkodkan pada 2021.

Anwar akan mengadakan lawatan rasmi sulung dua hari ke Thailand bermula Khamis yang antara lain beliau dijadual bertemu rakan sejawatannya dari Thailand, Prayuth Chan o-cha untuk membincangkan hala tuju dalam mengukuhkan kerjasama pelbagai hala antara Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis pertukaran empat Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama tenaga dan ekonomi digital.

Ini adalah lawatan rasmi antarabangsa keempat Anwar selepas Indonesia, Brunei dan Singapura sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lepas.

Sementara itu Rahul berkata lawatan Anwar ke Thailand dijangka menggiatkan semula rundingan damai di selatan.

Beliau berkata ketua fasilitator Malaysia yang baharu Zulkifli Zainal Abidin akan dapat membuat satu kejayaan dalam proses damai.

“Ia bukanlah satu tugas yang mudah, namun ia petanda positif bahawa kerajaan sekarang berminat dalam proses damai dan ingin bekerjasama dengan kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Institut Kajian Keamanan Universiti Prince of Songkla, Penolong Prof Dr Srisompob Jitpiromsri berkata beliau percaya Anwar akan memainkan peranan penting dalam proses damai berikutan kepakarannya dan hubungan yang lama dengan penduduk di wilayah selatan.

“Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan rakyat terutamanya dengan pemimpin tempatan termasuk ahli politik, pemimpin agama, ahli akademik dan intelektual. Oleh itu, beliau boleh membawa lebih ramai orang atau kumpulan untuk membantu dan menyatukan proses damai.

“Beliau (Anwar) mengetahui dan memahami konflik itu. Oleh itu, beliau boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan dialog damai,” katanya kepada Bernama. – Bernama, 8 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen