Perak sedia RM2 juta bantu mahasiswa, kata Saarani


Menteri Besar Saarani Mohamad berkata inisiatif Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa pada tahun ini meningkat sebanyak RM1.4 juta berbanding RM600,000 tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2023.

KERAJAAN negeri menerusi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) memperuntukkan RM2 juta tahun ini bagi membela nasib mahasiswa kelahiran negeri itu yang mengalami kesempitan hidup. 

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata inisiatif Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa pada tahun ini meningkat sebanyak RM1.4 juta berbanding RM600,000 tahun lepas.

“Bantuan Sara Diri Mahasiswa terbahagi kepada dua fasa iaitu pertama akan bermula pada hari ini hingga 10 Mac dan bagi fasa kedua pada Ogos atau September ini.

“Pemberian antara RM500 hingga RM2,000 kepada mahasiswa sepenuh masa bagi semester kedua dan ke atas untuk Diploma hingga Ijazah Doktor Falsafah sama ada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa serta Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Di Bawah Inisiatif TCS 2023 di Ipoh hari ini.

Saarani berkata Bantuan Kecemasan Mahasiswa pula merupakan inisiatif bagi membantu mahasiswa yang ditimpa musibah dengan bantuan tidak melebihi RM5,000 bergantung kepada kes.

“Semua mahasiswa Anak Perak yang berkelayakan boleh membuat permohonan secara dalam talian pada pautan www.eheyns.com.my/bantuan-khas-mahasiswa,” katanya. 

Saarani turut mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan salah satu program di bawah TCS iaitu Bantuan Makanan Pelajar dengan peruntukan RM2.8 juta.

“Program ini akan beri manfaat kepada lebih 28,000 pelajar dari 256 sekolah di seluruh Perak yang membabitkan calon-calon peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

“Kesemua calon peperiksaan terbabit akan diberikan bantuan makanan tengah hari selama 20 hari iaitu ketika menghadiri kelas tambahan atau kelas intensif sehinggalah sepanjang hari peperiksaan berlangsung,” katanya. 

Terdahulu Saarani menerima sumbangan daripada lima syarikat berkaitan kerajaan Perak bagi membiayai program terbabit, terdiri daripada Lembaga Air Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak yang masing-masing menyumbang RM1 juta, Perbadanan Menteri Besar menyumbang RM700,000, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (RM500,000) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM200,000).  – Bernama, 8 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen