Pekerja kilang didakwa menyamar, guna kad pengenalan palsu beli motosikal


SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas dua pertuduhan menyamar dan menggunakan kad pengenalan palsu untuk membeli motosikal tahun lepas.

Herman Yusof, 30, yang beralamat di Gombak, Selangor dituduh melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah kedai motosikal, di Pusat Perniagaan Chengal di Temerloh sekitar 1.20 tengah hari 23 Ogos 2022. 

Mengikut pertuduhan pertama dia didakwa melakukan kesalahan menipu dengan menyamar menggunakan identiti individu dikenali sebagai Faisal Hanif Rusli untuk membuat pembelian motosikal jenis Yamaha Y16ZR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua pula bapa kepada empat anak itu didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen kad pengenalan atas nama individu sama yang diketahui adalah dokumen palsu. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Sementara itu di mahkamah sama Hermawati Arif, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Herman bagi membantunya mendapatkan dan memiliki kad pengenalan palsu atas nama Faisal Hanif Rusli di sebuah kilang kayu di Mentakab antara Januari dan Disember 2017. 

Wanita yang juga pekerja kilang itu didakwa mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab menawarkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan kepada Herman manakala jaminan sebanyak RM7,000 ditawarkan kepada Hermawati. 

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mazieera Ra Sharifudin (Mazieera Ra Sharifudin) yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan Herman dan Hermawati masing-masing mempunyai pendapatan RM1,200 dan RM1,500 sebulan serta mempunyai tanggungan keluarga. 

Majistret Tan Chiew King membenarkan Herman diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan manakala Hermawati perlu membayar wang jaminan RM4,000. 

Mahkamah menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – Bernama, 8 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen