Angka korban gempa bumi Turkiye, Syria kini lebih 7,800 orang


Agensi pengurusan bencana di Turkiye menerima laporan lebih 11,300 bangunan runtuh ekoran gempa bumi besar melanda selatan negara itu. – Gambar AFP, 8 Februari 2023.

CUACA sejuk menyukarkan usaha menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan susulan gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan utara Syria pada Isnin, yang setakat ini meragut lebih 7,800 nyawa.

Seramai 5,894 disahkan terkorban di Turkiye manakala 1,932 lagi di Syria, menjadikan jumlah kematian kini mencecah 7,826 orang, lapor media.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan angka korban boleh mencecah sehingga 20,000. Pegawai Kecemasan Kanan WHO, Adelheid Marschang dilapor berkata kira-kira 23 juta orang termasuk 1.4 juta kanak-kanak akan terjejas akibat gempa itu.

The Gurdian memetik Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay sebagai berkata setakat ini lebih 8,000 orang berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan.

Tambahnya kira-kira 380,000 orang kini berlindung di pusat perlindungan atau hotel yang disediakan kerajaan, selebihnya berlindung di pusat beli-belah, stadium, masjid dan pusat komuniti.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan angka korban boleh mencecah sehingga 20,000. – Gambar AFP, 8 Februari 2023.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan semalam mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah yang dilanda gempa bumi besar. 

Katanya operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan melibatkan 53,317 anggota.

Kelmarin, Erdogan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari.

Agensi pengurusan bencana di Turkiye menerima laporan lebih 11,300 bangunan runtuh, dengan 5,775 daripada jumlah itu telah disahkan.

Gempa pertama berukuran 7.8 magnitud melanda pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan pada Isnin. Ia dilaporkan antara yang paling kuat di wilayah itu dalam masa sekurang-kurangnya 100 tahun.

Gegerannya dirasakan sampai ke Mesir dan Cyprus.

Gempa kedua yang juga besar berlaku hampir lapan jam kemudian berukuran 7.7 magnitud pada kedalaman 2km.

Pihak berkuasa seismologi merekodkan lebih 100 gegaran susulan dua gempa besar itu. – 8 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen