Larangan alkohol di Australia dikuatkuasa semula ekoran peningkatan jenayah


Larangan alkohol akan dikuat kuasa semula membabitkan komuniti orang asli di Australia sebagai tindak balas terhadap peningkatan kadar jenayah. – Gambar AFP, 7 Februari, 2023.

LARANGAN alkohol akan dikuat kuasa semula membabitkan komuniti orang asli di Australia sebagai tindak balas terhadap peningkatan kadar jenayah.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Ketua Menteri Wilayah Utara (NT) Natasha Fyles semalam mengesahkan ‘dry zone’ akan dikuat kuasa semula di bandar dan komuniti orang asli berhampiran Alice Springs, lapor Xinhua.

Ia kembali dikuat kuasa kurang 12 bulan selepas larangan pengambilan alkohol ditamatkan pada Julai 2022 menjadikannya sah di beberapa kawasan buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.

Akibatnya kadar keganasan didorong pengambilan alkohol melonjak di Alice Springs memaksa Datuk Bandar Matt Paterson meminta sokongan Pasukan Pertahanan Australia (ADF).

Albanese melawat wilayah itu pada akhir Januari dan melancarkan semakan yang mengesyorkan larangan itu dikembalikan.

Di bawah undang-undang baharu yang akan diperkenalkan kepada sidang Parlimen NT semalam, masyarakat setempat boleh memohon untuk menarik diri daripada larangan itu jika 60% penduduk tidak menyokong keputusan berkenaan dan mereka mempunyai rancangan pengurusan alkohol. – Bernama, 7 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen