Thailand cipta rekod dunia untu tarian Wai Kru terbesar 


Rekod itu diukur berdasarkan bilangan peserta yang mempersembahkan tarian Wai Kru Muay Thai, dan koreografinya mesti selaras.– Gambar Facebook, 7 Februari, 2023.

THAILAND berjaya mencipta rekod dunia dalam Guinness World Record untuk tarian Wai Kru Muay Thai terbesar dengan penyertaan 3,660 peserta yang melakukan upacara tarian pra-perlawanan – memecah rekod sebelumnya iaitu 250 peserta.

Berpakaian seragam merah serta mengenakan Mongkhon putih (lilitan di kepala) dan tali Muay Kard Chuek putih (digunakan untuk melilit tangan peninju), para peserta - termasuk kadet tentera Thailand, pelajar universiti dan sukarelawan melakukan gerakan serentak dalam persembahan yang diadakan di Taman Rajabhakti di daerah Hua Hin, kira-kira 200km dari sini.

Legenda Muay Thai Thailand, Sombat Banchamek atau lebih dikenali sebagai Buakaw mengetuai para peserta dalam tarian tradisional itu pada Isnin.

Wai Kru adalah ritual yang dilakukan oleh pejuang Muay Thai untuk menyatakan rasa terima kasih kepada jurulatih mereka sebelum memasuki gelanggang pertarungan.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Panglima Tentera Diraja Thailand Jeneral Narongpan Jittkaewta turut hadir pada majlis itu.

Acara itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Tentera Diraja Thailand, Kementerian Pelancongan dan Sukan, dan Kementerian Kebudayaan.

Ia adalah sebahagian daripada Pesta Muay Thai Menakjubkan yang diadakan dari 4 hingga 6 Februari sempena Hari Muay Thai Kebangsaan pada 6 Februari.

Pengadil Guinness Kazuyoshi Kirimura berkata rekod itu diukur berdasarkan bilangan peserta yang mempersembahkan tarian Wai Kru Muay Thai, dan koreografinya mesti selaras.

Beliau juga berkata peserta mesti mahir dalam gerakan tarian, manakala tarian perlu berlangsung sekurang-kurangnya lima minit.

“Rekod sebelum ini ialah 250 peserta, dan keputusan akhir (hari ini) ialah 3,660. Tahniah, anda secara rasminya hebat,” katanya. – Bernama, 7 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen