UiTM Holdings rugi RM157 juta, lapor media


Kerugian dialami UiTM dikatakan berpunca daripada pelaburan perniagaan tidak menguntungkan termasuk projek penerbitan filem dan pengurusan tidak cekap hotelnya. – Gambar Facebook, 7 Februari, 2023.

UiTM Holdings Sdn Bhd, anak syarikat pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang sepatutnya menjana pendapatan kepada universiti itu dilaporkan mengalami kerugian terkumpul sehingga RM157 juta sejak empat tahun lalu, lapor Utusan Malaysia.

Kerugian itu direkodkan antara 2017 hingga 2021, lapor akhbar itu yang memetik laporan kewangan UiTM Holdings kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. UiTM Holdings juga didapati tidak memaklumkan laporan kewangannya bagi tahun 2020.

Kerugian itu dikatakan berpunca daripada pelaburan perniagaan yang tidak menguntungkan termasuk projek penerbitan filem, selain pengurusan tidak cekap hotelnya Intekma Resort & Convention Centre di Seksyen 7, Shah Alam sehingga terpaksa dihentikan operasi pada hujung Mac 2019.

Hotel itu kemudian ditukar menjadi pusat penginapan pelajar UiTM secara berperingkat, lapor media ketika itu.

UiTM Holdings yang ditubuhkan pada 2007 kali terakhir mencatatkan keuntungan pada 2016 dan sehingga kini menanggung hutang sebanyak RM293 juta atau 64% daripada jumlah asetnya.

Presiden Putra Ibrahim Ali yang juga alumni UiTM minggu lalu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta agensi antirasuah itu menyiasat dakwaan penyelewengan dan ketirisan dalam pengurusan UiTM Holdings, yang dikatakan berlaku sejak 10 tahun lalu.

Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Mohd Janor dalam reaksinya berkata pihak UiTM sedia memberi kerjasama kepada SPRM demi memastikan integriti institusi itu terpelihara. β€“ 7 Februari, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen