5 pemain ragbi dihukum penjara seumur hidup di Argentina


SEBUAH mahkamah di Argentina menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap lima pemain ragbi amatur atas kesalahan memukul seorang remaja hingga mati.

Tiga lagi defendan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dalam kes pembunuhan Fernando Baez Sosa, seorang pelajar jurusan undang-undang daripada keluarga imigran Paraguay, di luar sebuah disko tiga tahun lalu.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangsung empat minggu di sebuah mahkamah di Dolores, 220km di selatan Buenos Aires, mendapat perhatian susulan ia memfokuskan kepada unsur perkauman dan taraf hidup di negara itu yang turut mencetuskan protes di beberapa bandar.

Lapan defendan, kini berusia antara 21 dan 23 tahun, didakwa membunuh selepas membelasah Baez, 18, hingga mati di luar sebuah resort popular di Villa Gesell pada 18 Januari, 2020.

Selepas berlaku pergaduhan di kelab malam itu, mereka yang terbabit diarah keluar tetapi pergaduhan berterusan di jalanan.

Baez terpisah daripara rakan-rakannya dan dikelilingi lapan penyerang terbabit, semua satu pasukan ragbi yang memukulnya dengan teruk hingga mati akibat kecederaan dialaminya.

Menurut saksi, defendan memanggil Baez – di mana ibu bapanya bekerja sebagai buruh dan pengasuh, yang juga imigran Paraguay sebagai “shitty black”.

Di negara yang majoriti populasi berturunan kulit putih dari Eropah, kebanyakan dari Sepanyol, Italia tau Jerman, terma “hitam” sering digunakan untuk menggambarkan masyarakat Orang Asli atau pendatang dari negara jiran.

Ragbi adalah sukan minoriti di Argentina, biasanya dimainkan dan ditonton oleh golongan elit dan kaya.

Maximo Thomsen, Matias Benicelli, Enzo Comelli dan adik beradik Ciro dan Luciano Pertossi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Ayrton Viollaz, Blas Cinalli dan Lucas Pertossi yang juga sepupu kepada adik beradik itu, dikenakan penjara 15 tahun. – AFP, 7 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen