Ismail Sabri sedia berundur dari politik, lapor media


Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau sudah sedia mahu bersara selepas PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

ISMAIL Sabri Yaakob mendedahkan beliau sebenarnya sudah sedia untuk berundur daripada politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun perancangannya tersasar apabila kemelut politik kemudiannya meletakkan beliau sebagai perdana menteri, lapor BH.

“Saya ada merancang jika menang PRU14, saya akan terus jadi menteri, selepas itu berhenti dan jadi senator. Tamat perkhidmatan senator, saya akan terus berhenti (bersara daripada politik sepenuhnya),” katanya, seperti dipetik BH.

“Sebenarnya saya merancang untuk berehat selepas PRU14, namun ditakdirkan jadi perdana menteri,” tambahnya.

Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno jadi perdana menteri pada Ogos 2021, menggantikan Muhyiddin Yassin yang letak jawatan. Beliau jadi perdana menteri 42 hari selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri kepada Muhyiddin.

Beliau juga adalah perdana menteri ketiga yang dilantik selepas PRU14 susulan kemelut politik sejak pilihan raya bersejarah yang menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dari kuasa pada Mei 2018.

Ismail Sabri mula memegang jawatan politik di peringkat bahagian Umno Temerloh pada hujung 1980-an dan seterusnya jadi naib ketua bahagian itu pada 2001.

Selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya, beliau dilantik sebagai ketua bahagian Umno Bera pada 2004 dan kemudian terpilih jadi ahli parlimen Bera pada pilihan raya umum tahun yang sama.

Beliau dilantik menteri belia dan sukan dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Dalam jemaah menteri, Ismail Sabri pernah memegang portfolio perdagangan dalam negeri dan pengguna, pertanian, pembangunan luar bandar, dan pertahanan. – 5 Februari, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen