Elak lantik ahli keluarga pada masa depan, kata Rafizi


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata pandangan umum mengenai isu pelantikan ahli keluarga ke jawatan tertentu perlu diberi perhatian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

KERAJAAN pada masa akan datang perlu mengelak budaya nepotisme yang melantik ahli keluarga ke jawatan tertentu, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau mengulas pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada ayahnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Mohammed Iqbal Johari sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada ayahnya Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul.

“Saya ingat beberapa perkara ini untuk masa akan datang kepada mana-mana kerajaan perlu elakkan. Cuma dalam keadaan Nurul Izzah dan Iqbal, lantikan itu sudah dibuat.

“Ia tidak membabitkan wang rakyat, yang kita harapkan sekarang mereka perlulah buktikan mereka bawa nilai tambah. Saya yakin mereka ada peranan masing-masing,” katanya seperti dipetik Harian Metro, malam tadi.

Rafizi yang juga menteri ekonomi mengakui sedar akan kritikan pelbagai pihak terhadap dua lantikan itu.

Pandangan umum itu perlu diberi perhatian, katanya.

“Di peringkat PKR, kita harap kita ‘move on’ dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat.

“Sudah pasti saya faham sentimen itu,” katanya.

Anwar sebelum ini mempertahankan kelayakan Nurul Izzah sebagai penasihatnya, yang juga katanya jawatan tidak bergaji.

Beliau terbuka menerima kritikan umum namun menjelaskan anak sulungnya itu akan memastikan ada ketelusan dalam pentadbiran kewangan kerajaan termasuk memantau urusan tender kerajaan supaya teratur.

Johari juga mempertahankan pelantikan anaknya, yang katanya ada kelayakan dan pengalaman selain sudah berkhidmat membantunya sejak 14 tahun lalu.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa isu pelantikan itu dijadikan isu oleh pembangkang untuk mengalih perhatian umum kepada perancangan pembangunan yang sedang kerajaan buat. β€“ 5 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen