Gantung keahlian tak jejas Umno Johor, kata Khaled


Mohamed Khaled Nordin percaya Umno Johor masih boleh bergerak ke hadapan sekalipun beberapa pemimpinnya digantung keahlian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2023.

PENGGANTUNGAN keahlian beberapa pemimpin Umno Johor tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbitran parti itu di negeri berkenaan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang baharu Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, terdapat beberapa pimpinan Umno negeri itu sebelum ini juga pernah berdepan tindakan sama, termasuk Shahrir Ab Samad dan Muszaidi Makmor yang kini Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, namun Umno Johor masih terus bergerak ke hadapan.

Mohamed Khaled bagaimanapun berkata, semua pemimpin Umno negeri itu yang dikenakan tindakan berkenaan, tidak boleh berputus asa kerana mereka masih berpeluang membuat rayuan bagi membolehkan tempoh penggantungan dipendekkan.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan Umno Johor di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled juga berkata ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram Maulizan Bujang, wajar diberi peluang untuk merayu berhubung hukuman penggantungan ke atas mereka.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, meskipun Umno Johor akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MKT) parti, namun kedua-dua pemimpin itu wajar diberi peluang berikutan sumbangan mereka kepada Umno Johor.

“Umno Johor juga turut berbincang dan menzahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku kepada kedua-dua pemimpin, yang tidak dapat dinafikan banyak berjasa kepada Umno Johor khususnya, maka kita bersetuju supaya mereka ini wajar diberi ruang merayu atas tindakan yang dikenakan oleh parti ke atas mereka,” katanya.

Pada 27 Januari, MKT Umno menggantung keahlian Hishammuddin yang juga bekas naib presiden Umno, selain memecat lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang.

Selain itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan veteran Umno, Shahrir tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian Johor Bahru dan mengucapkan terima kasih serta menyatakan penghargaan terhadap jasa bekas ahli Parlimen itu kepada Umno negeri. – Bernama, 4 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen