Program rekalibrasi pekerja asing terima hampir 50 ribu permohonan


Pada 10 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Putrajaya akan meneruskan RTK 2.0 sehingga akhir tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2023.

PROGRAM Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) mendapat sambutan positif apabila Putrajaya melaksanakan pemutihan terbaharu kepada pekerja asing tanpa izin, lapor TV3.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dalam tempoh lima hari ini pihaknya merekodkan hampir 50,000 permohonan daripada majikan.

Beliau berkata sambutan terhadap RTK 2.0 melebihi jangkaan berbanding inisiatif sebelum ini untuk mendaftarkan pekerja tanpa izin di sini.

“Dalam tempoh lima hari pertama kita menerima 47,200 permohonan untuk pekerja diberikan permit kerja.

“Rekod lalu ialah 265,000 pekerja dan kali ini kami menjangkakan jumlah lebih tinggi kerana peraturan pengambilan pekerja yang longgar,” katanya pada program bual bicara pagi “Malaysia Hari Ini”.

Khairul juga menggalakkan individu perniagaan tampil ke depan dan mendaftarkan pekerja mereka.

“Pakcik yang memiliki kebun kelapa sawit atau pokok getah kecil dan pemilik restoran tom yam juga boleh memohon kepada Jabatan Imigresen dan kita akan keluarkan kelulusan,” katanya.

Mengenai kos yang tinggi untuk mengambil pekerja domestik baharu dari Indonesia, Khairul berkata majikan juga boleh mendaftarkan pekerja tanpa izin yang sudah berada di sini.

Semua permohonan mesti dihantar secara dalam talian melalui laman web Jabatan Imigresen, selepas itu majikan akan diberi tarikh untuk membawa pekerja ke pejabat imigresen terdekat untuk pengesahan, dengan jaminan satu hari kelulusan.

Pada 10 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Putrajaya akan meneruskan RTK 2.0 sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata syarat untuk mendaftar program itu akan lebih fleksibel, tetapi pada masa sama keselamatan negara tidak akan terjejas.

Saifuddin turut menasihati majikan agar mendaftarkan pekerja tanpa izin mereka dan memberi jaminan tiada pihak akan dikenakan tindakan di bawah undang-undang imigresen. – 2 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen