Putrajaya sedia bincang hasrat Sarawak ambil alih Pelabuhan Bintulu 


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia perlu melalui pelbagai proses perundangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2023.

KERAJAAN persekutuan sedia untuk berbincang dengan kerajaan Sarawak berhubung hasrat negeri itu yang mahu mengambil alih semula Pelabuhan Bintulu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, perbincangan tersebut akan dibuat atas semangat kerajaan perpaduan namun setakat ini beliau masih belum lagi menerima laporan rasmi berhubung hasrat tersebut daripada kerajaan Sarawak.

Loke berkata untuk diserahkan kepada kerajaan Sarawak, ia perlu melalui pelbagai proses perundangan namun kementeriannya mengalu-alukan perbincangan bersama.

“Sebarang kemungkinan, apa sahaja boleh dibincang dan dirunding. Jadi saya memahami apa aspirasi yang kerajaan Sarawak inginkan. Saya tidak menolak perbincangan tersebut dan kita terbuka tetapi ia akan memerlukan banyak proses kerana Pelabuhan Bintulu merupakan pelabuhan persekutuan. 

“Dan pelabuhan persekutuan ini dikawal selia melalui akta di bawah Parlimen. Bidang kuasa, kawal selia bidang kuasa pelabuhan itu adalah bawah kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan  pembukaan pembukaan gudang baharu Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd, di Pelabuhan Klang hari ini.

Terdahulu media melaporkan, bahawa kerajaan negeri Sarawak akan berbincang dengan Putrajaya untuk mengambil semula Pelabuhan Bintulu, yang kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata ia bagi membolehkan Pelabuhan Bintulu ditadbir dan dibangunkan lagi sebagai pelabuhan negeri mengikut strategi yang dirangka untuk pelabuhan di Sarawak.  

Dalam perkembangan lain, Loke berkata hala tuju pembangunan pelabuhan mega ketiga baharu yang dijangka dibuka di Selangor iaitu di Pulau Carey, Kuala Langat akan dibincangkan dengan teliti di peringkat kabinet.  

Katanya, berdasarkan kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) selama dua tahun bermula 2019 mendapati kawasan tersebut bersesuaian untuk dijadikan pelabuhan ketiga selepas Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata pembangunan pelabuhan di Pulau Carey itu adalah bagi projek jangka masa panjang yang akan dilaksanakan dalam 20 hingga 30 tahun akan datang. – Bernama, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen