Pembaikan jajaran LRT laluan Ampang dijangka selesai dalam 2 minggu, kata menteri


Kelihatan pengguna perkhidmatan awam masih ramai di stesen LRT selepas jam 8 malam tadi. – Gambar Facebook Rapid KL, 1 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menjangkakan kerja-kerja pembaikan jajaran perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang yang mengalami kerosakan struktur selesai dalam tempoh dua minggu untuk fasa pertama.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata kerosakan struktur tersebut akan dibaiki oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama perunding yang dilantik dalam kadar segera.

“Proses pembaikan akan melibatkan dua fasa iaitu fasa pendek dalam tempoh dua minggu untuk dipastikan ada pembaikan dan struktur itu selamat digunakan manakala fasa panjang pula untuk memastikan struktur itu kukuh,” katanya selepas merasmikan pembukaan gudang baharu Infinity Logistics & Transport di Pelabuhan Klang hari ini.

Loke berkata pembukaan kedua-dua stesen yang terlibat iaitu Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek hanya akan dilakukan sekiranya didapati laluan berkenaan selamat digunakan oleh pengguna. 

“Kita tiada pilihan kerana ini melibatkan isu keselamatan. Jadi, saya memohon maaf kepada pihak penumpang. Saya tahu dan banyak terima laporan serta akan memantau pergerakan projek pembaikan ini.

“Bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna, kita sudah menggerakkan 200 kakitangan Prasarana untuk melancarkan operasi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya selain kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai disebabkan kerja-kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.

Dalam pada itu, Loke berkata kementerian menyokong penuh konsep laluan khas atau ‘blue lane’ kepada penunggang motosikal seperti yang disyorkan pakar keselamatan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian dalam kalangan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan tersebut memerlukan pelaburan besar terutama sekiranya dilakukan di lebuh raya dan jalan Persekutuan, selain kerja pembinaan dan menaik taraf jalan raya itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Bukan satu cadangan baharu dan saya pernah mendengarnya sebelum ini, memang satu cadangan baik. Kementerian Pengangkutan memang menyokongnya,” katanya. – Bernama, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen