3 calon SPM Orang Asli diterbangkan untuk hadiri peperiksaan


Anggota Bomba menghantar bekalan makanan ke kawasan terjejas banjir di Mersing dengan menggunakan helikopter. – Gambar Facebook Korporat JBPM, 1 Februari, 2023.

TIGA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Orang Asli Punan dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar di Mersing, Johor dengan menaiki helikopter unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam, untuk menghadiri peperiksaan berkenaan.

Pemangku Pengarah JBPM Johor Mohd Rizal Buang berkata Norfaizal Selamat, Jefzulkiflie Addy dan Christie Maurinissca Clay masing-masing berusia 18 tahun dan merupakan Orang Asli Suku Jakun itu dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW189.

Beliau berkata difahamkan ketiga-tiga calon itu sepatutnya hadir ujian amali sains SPM pada Isnin lalu (30 Januari), namun terpaksa ditangguhkan berikutan jalan raya yang menghubungkan kawasan penempatan mereka masih ditenggelami air.

“Bagaimanapun, atas dasar pertimbangan pihak SMK Nitar, ketiga-tiga calon berkenaan dibenarkan menghadiri ujian itu hari ini.

“Kesemua mereka akan tinggal di asrama sekolah berkenaan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 1,373 orang membabitkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan SPM 2022 dilaksanakan mulai 30 Januari hingga 15 Mac ini membabitkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis dengan jumlah keseluruhan 403,637 calon. – Bernama, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen