Mohamad Sabu kini bergelar Datuk Seri


Mohamad Sabu menerima darjah kebesaran SMW daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2023.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada 164 penerima bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2023.

Turut berangkat pada istiadat pengurniaan di Istana Negara adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri Kabinet.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mendahului senarai penerima.

Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, Mohamad, 69, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama enam lagi penerima pada istiadat pengurniaan itu.

Enam lagi penerima SMW yang merupakan darjah kebesaran pangkat kedua adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Isham Ishak; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu Ahmad Fadil Shamsuddin; Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Muhamad Norazlan Aris; Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn Bhd Eng Wei Chun dan Pengarah Eksekutif Amechanus Holdings Sdn Bhd Lawrence Yeo Chua Poh.

Sementara itu, 15 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk antaranya Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri Toisin Gantor; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Azah Hanim Ahmad dan Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim.

Turut dikurniakan PMW adalah Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Muhammad Azmi Zulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd Md Shah Mahmood; Presiden UMW Toyota Motor K Ravindran dan Presiden UDA Holdings Sdn Bhd Mohd Salem Kailany.

Beberapa ahli sukan turut menerima PMW sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara iaitu bekas pemain bola sepak kebangsaan Lim Teong Kim; bekas ratu boling negara Shalin Zulkifli; atlet bina badan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas pengarah kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia P Arivalagan.

Pada istiadat hari ini, 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); 19 dikurniakan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 15 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). – Bernama, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen