Wilayah Persekutuan jadi bandar pintar menjelang 2030, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hasrat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang 2030 selari dengan konsep Malaysia Madani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2023.

KERAJAAN menyasarkan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang 2030.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu selari dengan konsep Malaysia Madani yang turut memberi penekanan kepada aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar.

“Jabatan Wilayah Persekutuan turut merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar.

“Antara program lain yang disusun ialah penggunaan bas elektrik Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat dan perumahan awam di Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara hari ini.

Anwar berkata berdasarkan pencapaian kemampanan bandar Wilayah Persekutuan yang diukur melalui MURNInets (Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), ketiga-tiga Wilayah Persekutuan mencapai tahap mampan dengan cemerlang pada 2022.

Selain itu, beliau berkata usaha-usaha tebatan banjir akan diteruskan dengan lebih gigih selaras pelan mitigasi banjir yang telah disediakan.

“Patik amat meyakini bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi akan terus bergerak sederap sebagai satu jentera pasukan perkhidmatan awam untuk mentadbir dan mengurus kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan.

“…patik bertekad memastikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ditadbir dan diterajui dengan sebaiknya agar manfaat kemakmuran dan keamanan dinikmati rakyat jelata yang rencam kaum dan budaya,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 164 penerima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023.

Pada istiadat pengurniaan kali ini, tujuh individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri dan 15 individu pula dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); 19 dikurniakan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 15 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). – Bernama, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen