Nurul Izzah tiada kuasa panggil mesyuarat, kata menteri komunikasi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menganggap status pelantikan anak perempuan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sama dengan penasihat lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2023.

NURUL Izzah Anwar tidak berkuasa memanggil mesyuarat dan memutuskan perkara dasar sebagai penasihat ekonomi dan kewangan perdana menteri, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi itu berkata demikian bagi menangkis tuduhan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengamalkan nepotisme dengan melantik anak perempuan sendiri menjadi penasihat rasmi.

Fahmi juga menganggap status pelantikan anak perempuan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sama dengan penasihat lain seperti bekas pengerusi Petronas Hassan Marican.

“Istilah penasihat itu jelas kerana mereka tidak akan menyentuh mengenai dasar, tiada punca kuasa termasuk memanggil mesyuarat serta tidak dibayar gaji,” katanya seperti dipetik Bernama.

Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat ekonomi dan kewangan kepada Anwar sejak 3 Januari lepas namun pelantikannya tidak pernah diumumkan secara rasmi.

Pelantikan itu didedahkan Nurul Izzah pada hujung minggu lalu yang menerima kecaman pelbagai pihak termasuk badan pemantau rasuah Transparency International Malaysia.

Pembangkang juga menganggap PH hipokrit kerana mengamalkan perkara itu sedangkan nepotisme dicemuh dalam kempen Reformasi yang dicetuskan Anwar sejak hampir 25 tahun lalu.

Selain itu, pelantikan Nurul Izzah juga dikritik oleh ahli Parlimen PKR seperti Hassan Abdul Karim yang menyifatkannya “betul dari segi  undang-undang, tetapi salah dari segi moral”. – 31 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen