2 bekas PM dan menteri defendan dalam tuntutan saman kes batal projek HSR


Projek HSR yang ditandatangani antara dua negara pada 2016 membabitkan pembangunan 350km, memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2023.

DUA bekas perdana menteri dan beberapa bekas menteri dinamakan sebagai defendan dalam satu tuntutan saman berhubung pembatalan projek keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Antaranya ialah Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, bekas menteri ekonomi Mustapa Mohamed dan bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong. Kerajaan Malaysia turut dinamakan sebagai defendan dalam kes ini.

Menurut penyata tuntutan yang difailkan pada 30 Disember, seorang rakyat Malaysia, Hatta Sanuri mendakwa Dr Mahathir cuai dan melakukan kesalahan ketika menjawat jawatan perdana menteri ketika membuat keputusan menangguhkan projek itu ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada 2018.

Hatta mendakwa Malaysia terpaksa membayar RM46 juta kepada Singapura sebagai pampasan pada waktu itu. Beliau mendakwa Muhyiddin juga cuai dan melakukan kesalahan apabila kerajaannya membatalkan projek itu pada 1 Januari, 2021.

Beliau mendakwa Malaysia terpaksa membayar Singapura pampasan sebanyak RM320 juta.

Hatta sebelum ini gagal dalam permohonannya terhadap kerajaan

Beliau berkata kira-kira 70,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi daripad aprojek itu, potensi memperoleh keuntungan RM70 bilion, selain pampasan dibayar kepada Singapura sebanyak RM366 juta adalah antara kerugian ditanggung rakyat Malaysia susulan pembatalan projek itu.

Pembatalan projek itu juga menyebabkan keyakinan pelabur asing terjejas, katanya.

Hatta memohon mahkamah memberikan pengisytiharan bahawa pembatalan projek itu dan pampasan RM46 juta kepada Singapura dianggap batal dan tidak sah, projek itu disambung semula, selain ganti rugi RM1 juta kepada rakyat Malaysia susulan kelewatan pembangunan HSR.

Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian bilateral projek itu pada 13 Disember, 2016 tetapi membatalkannya pada 1 Januari, 2021 selepas beberapa kali ditangguhkan.

Projek itu membabitkan pembangunan sepanjang 350km, akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit. – 31 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen