Perikatan menang Padang Serai, BN menang DUN Tioman


Calon Perikatan Nasional Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin mengalahkan lima calon lain dengan meraih 51,637 undi.– Gambar Facebook, 7 Disember, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) menang kawasan Parlimen Padang Serai di Kedah, kerusi yang dianggap kawasan selamat Pakatan Harapan (PH), sekaligus mengekalkan rekod menyapu bersih kawasan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kemenangan PN juga menandakan pertama kali PKR terlepas kerusi Padang Serai yang diwakilinya sejak 2008.

Kemenangan di Padang Serai menjadikan PN menang keseluruhan 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah. Satu kerusi iaitu Sungai Petani dimenangi oleh PH.

Barisan Nasional (BN) sementara itu menambah satu lagi kerusi negeri di Pahang apabila menang di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Tioman, yang juga mengundi hari ini.

Pilihan raya di kedua-dua kawasan  yang sepatutnya berlangsung pada 19 November ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli di DUN Tioman, mewakili PN.

Di Padang Serai, calon PN Azman Nasrudin mengalahkan lima calon lain dengan 51,637 undi mengatasi calon terdekat Dr Mohamad Sofee Razak dari PH yang meraih 35,377 undi. Azman menang dengan kelebihan 16,260 undi.

Calon BN C. Sivaraajh, yang juga ketua Pemuda MIC, meraih 2,983 undi biarpun memberi laluan kepada calon PH susulan kerjasama politik dua gabungan itu selepas PRU15. Beliau hilang wang deposit.

Tiga calon lain iaitu Hamzah Abd Rahman (GTA), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), dan calon bebas Sreanandha Rao hilang wang deposit.

Hamzah hanya dapat 424 undi manakala Bakhri yang juga menarik diri dapat 149 undi sementara Sreanandha dapat  846  undi.

Beberapa pengundi di Padang Serai yang ditemubual oleh Bernama mengaku tidak tahu calon BN dan Warisan menarik diri dan memberi laluan kepada calon PH.

Dengan keputusan Padang Serai ini, Bersatu menambah seorang wakil di Dewan Rakyat. PN kini mempunyai 74 kerusi di Dewan Rakyat dengan 43 wakil PAS dan 31 wakil Bersatu.

Calon BN DUN Tioman Mohd Johari Hussain mengekalkan kerusinya menang dengan majoriti 573 undi.– Gambar Facebook Johari Hussain, 7 Disember 2022.

Adun Tioman kekal tapi majoriti hilang setengah

Sementara itu di Tioman, calon BN Mohd Johari Hussain mengekalkan kerusinya menang dengan majoriti 573 undi, mengatasi pencabar terdekat Nor Idayu Hashim dari PN.

Mohd Johari mendapat 8,080 undi manakala Nor Idayu mengumpul 7,507 undi.

Pada PRU14, Mohd Johari menang majoriti dengan 1,280 undi.

Calon PH Mohd Fadzli Mohd Ramly yang memberi laluan kepada calon BN mendapat 784 undi, dan hilang deposit.

Calon GTA Osman A Bakar meraih 79 undi manakala calon bebas Sulaiman Bakar yang dapat 58 undi juga hilang wang deposit.

Pertambahan satu kerusi negeri ini menjadikan BN kini ada 17 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang. BN membentuk kerajaan gabungan bersama PH yang ada lapan kerusi, manakala PN menjadi pembangkang dengan 17 kerusi.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 November lepas. – 7 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen