Lebih 1,000 video TikTok disekat, kata menteri 


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihaknya menghubungi Meta, kerana ingin sertakan WhatsApp, Instagram dan Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2022.

TIKTOK menyekat lebih 1,000 klip video dalam seminggu selepas pilihan raya, yang didakwa mengandungi kandungan ekstrem, kata Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi dan Digital berkata pada hari pengundian 19 November lalu platform media sosial itu menyekat 130 video.

Beliau berkata sebelum pilihan raya, TikTok telah menyekat 857 klip.

Menteri itu berkata video berkenaan disekat secara automatik selepas kecerdasan buatan TikTok mengesan sesuatu yang tidak kena pada mereka.

“Kami bermula dengan TikTok kerana kami melihat banyak video 13 Mei, contohnya. Itu adalah punca kebimbangan yang serius.

“Kami juga menghubungi Meta, kerana kami ingin sertakan WhatsApp, Instagram dan Facebook,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Berikutan pilihan raya umum polis memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya tidak menimbulkan ketegangan atau membuat kenyataan provokatif yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis telah mengesan kandungan yang mempunyai sentimen perkauman atau agama dan penghinaan yang ditujukan kepada institusi diraja, ketika ketidaktentuan politik berlaku.

“Kami memberi amaran kepada pengguna media sosial untuk mengelak daripada menyalahgunakan platform untuk menyebarkan kandungan provokatif yang boleh menyebabkan kebimbangan orang ramai.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan akan digunakan terhadap sesiapa sahaja yang cuba mewujudkan situasi yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – 7 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen