Utamakan penjawat awam berkebolehan, kompeten isi jawatan utama, kata Cuepacs


Cuepacs berkata campur tangan politik dalam urusan pelantikan jawatan pending perlu dielakkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten untuk mengisi jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

Presidennya Adnan Mat berkata campur tangan politik dalam urusan pelantikan perlu dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat terbaik kepada  Jemaah Menteri. 

“Unsur-unsur favouritism juga hendaklah dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata pegawai yang dilantik hanya disebabkan “kegemaran” ahli politik tertentu, dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan.

Adnan berkata Cuepacs pada dasarnya tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai  kelayakan, namun bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan dibuat dalam kalangan anggota penjawat awam sahaja.

“Mereka yang dilantik berdasarkan politik akan meletak jawatan atau dipaksa melepaskan jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah. Ini boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada,” katanya. – Bernama, 28 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen