Komen Pakatan terhadap BN jejaskan kerajaan perpaduan, kata Nur Jazlan


Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata wakil rakyat PH perlu berhenti membuat kenyataan negatif terhadap BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) perlu berhenti membuat komen yang boleh menjejaskan hubungan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan, kata Nur Jazlan Mohamed.

Merujuk kepada kenyataan dibuat wakil rakyat PH baru-baru ini yang menasihati Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak melantik ahli Parlimen yang ada kes di mahkamah ke Kabinet, timbalan ketua Umno Johor itu berkata ia boleh menjejaskan kerajaan.

“Masa untuk keluarkan kenyataan retorik dan berapi-api sudah berlalu, kerana rakyat sudah pun bersuara menerusi kotak undi.

“Saya ingin mengingatkan beberapa individu dalam PH supaya tidak berfikiran singkat dan menjejaskan kerajaan Anwar,” kata Nur Jazlan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, membantah wakil rakyat yang mempunyai kes di mahkamah, dilantik sebagai menteri.

Nik Nazmi yang juga naib presiden PKR berkata individu yang ada kes sedang berjalan di mahkamah tidak perlu dilantik ke Kabinet bagi mengelak masalah pada masa depan.

Hassan turut menasihatkan Anwar untuk memastikan anggota Kabinet bebas daripada sebarang kes rasuah dan pecah amanah.

Nur Jazlan berkata mereka yang sedang berdepan kes di mahkamah sepatutnya dihakimi mahkamah undang-undang, bukannya mahkamah pandangan awam.

Beliau berkata sistem keadilan perlu dihormati dan sesiapa saja “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”. – 28 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen