PAS akan bincang dengan Perikatan tawaran kerajaan perpaduan, kata Takiyuddin


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata tawaran itu juga akan dipertimbangkan dengan mengambil kira pandangan penyokong parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2022.

PAS akan berbincang dengan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) mengenai tawaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya gabungan itu turut menyertai kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas pilihan raya, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

PAS juga akan mempertimbangkan tawaran itu dengan mengambil kira pandangan penyokongnya, tambahnya.

“PAS mengucapkan terima kasih (atas tawaran itu) seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN di samping turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN menang 73 kerusi dengan 43 daripadanya melalui PAS dan 30 melalui Bersatu.

PN menyapu bersih semua kerusi parlimen di Perlis, Kelantan dan Terengganu, sementara hanya tidak menguasai satu kawasan parlimen di Kedah.

PN terutamanya PAS juga buat pertama kalinya menang kerusi tradisi Umno di Pahang dan Perak.

Mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri, Takiyuddin menyuarakan keyakinan PAS dan berharap pentadbirannya akan adil kepada semua rakyat.

“PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” katanya.

Semalam, Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik beliau menerajui kerajaan. 

Pelantikan itu menamatkan empat hari kebuntuan selepas tiada mana-mana gabungan politik mempunyai cukup majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

Takiyuddin merakamkan kesyukuran PAS kerana kemelut kepimpinan pasca PRU15 dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

“PAS menerima dengan redha dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri,” katanya.  – 25 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen