Penstrukturan semula ekonomi perlu masa lebih lama, kata Kementerian Kewangan


Kementerian Kewangan berkata isu struktur mengambil masa berdekad-dekad untuk bertapak dalam ekonomi, justeru, usaha penstrukturan semula juga tidak mungkin berjaya ditangani dalam tempoh hanya setahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2022.

PENSTRUKTURAN semula ekonomi lazimnya memerlukan tempoh masa yang lebih lama kerana ekosistem yang sesuai perlu diwujudkan terlebih dahulu bagi menyokong langkah-langkah tersebut, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata isu struktur mengambil masa berdekad-dekad untuk bertapak dalam ekonomi, justeru, usaha penstrukturan semula juga pastinya akan mengambil masa dan tidak mungkin berjaya ditangani dalam tempoh hanya setahun.

Pelbagai usaha penstrukturan semula telahpun dimulakan sejak 2020, termasuk perluasan skop dan manfaat keselamatan sosial, terutamanya bagi yang bekerja sendiri atau di dalam sektor tidak formal; penerapan amalan yang berteraskan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC); dan dana khusus oleh sektor kewangan bagi menyokong usaha syarikat Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada amalan rendah karbon atau berasaskan kelestarian.

“Contohnya, pada tahun ini juga, kerajaan, melalui Bursa Malaysia, telah memulakan usaha pewujudan Pasaran Karbon Sukarela dan pelbagai langkah-langkah juga telah dimulakan bagi menggalakkan penggunaan tenaga bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kewangan turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Belanjawan 2023 adalah bajet pilihan raya.

Berbanding bajet pilihan raya yang lebih memberatkan langkah-langkah jangka pendek, ia berkata Belanjawan 2023 lebih bersifat bertanggungjawab dan reformis menekankan kepada keperluan membina daya tahan bagi menempuh cabaran jangka sederhana dan panjang walaupun berdepan kekangan fiskal akibat peningkatan perbelanjaan bagi menangani impak pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Pelbagai usaha jangka panjang bagi penstrukturan semula dan pembangunan mampan diperuntukkan bagi manfaat kesemua pihak berkepentingan iaitu rakyat, perniagaan, sektor sosial dan ekonomi.

“Contoh penstrukturan semula yang paling penting adalah cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal negara.

“Ini termasuk mempertimbangkan kebolehlaksanaan had statutori hutang tunggal sebagai satu peraturan hutang baharu, dan perluasan asas hasil negara,” katanya.

Pelbagai sesi libat urus telah diadakan semenjak usaha ini diumumkan semasa Belanjawan 2021 dan 2022 untuk memastikan penggubalan FRA yang komprehensif dan memenuhi matlamat membina semula daya tahan fiskal negara dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Mengenai cadangan pewujudan dana pelaburan lebih RM1 bilion untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi yang bakal menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi, kementerian itu berkata usaha tersebut akan dipadankan dengan langkah-langkah pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada penstrukturan semula ekonomi bagi jangka masa sederhana dan panjang.

Ia termasuklah industri elektrik dan elektronik (E&E) yang merangkumi pembangunan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif; penarikan pelabur sektor E&E ke Malaysia; dan pembangunan industri peranti perubatan.

“Antara industri berasaskan teknologi lain yang bakal mendapat peruntukan termasuk industri aeroangkasa, industri kimia dan petrokimia, nanoteknologi, teknologi kesihatan, dan, pembuatan pintar,” kata Kementerian Kewangan. – Bernama, 12 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen