Tuan Ibrahim sahkan menteri Perikatan tulis surat kepada Agong


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan semua menteri Perikatan Nasional menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka tidak setuju Parlimen dibubarkan sekarang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2022.

TIMBALAN Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan semua menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan mereka tidak setuju Parlimen dibubarkan sekarang, lapor media.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata surat itu diserahkan kepada Istana Negara semalam.

“Itu pandangan kami. Kami menghantar surat semalam dan Al-Sultan Abdullah menerimanya.

“Semua menteri PN (menandatangani surat) itu,” katanya seperti dipetik BH Online.

PN mempunyai 12 menteri dalam Kabinet Ismail Sabri Yaakob, dengan tiga dari PAS dan sembilan dari Bersatu.

Awal hari ini, portal berita MalaysiaNow melaporkan surat berkenaan antara lain merakamkan pandangan menteri kabinet dari PN tidak bersetuju dengan gesaan pemimpin Umno mahu Parlimen dibubar segera untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini juga.

Surat itu juga menyeru supaya tumpuan diberikan kepada usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Menurut laporan tersebut, surat berkenaan yang bertarikh 3 Oktober mahu menunjukkan kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa Kabinet tidak sepakat mengenai keputusan membubarkan Parlimen.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong petang ini di Istana Negara.

Ia merupakan satu pertemuan lazim menjelang mesyuarat mingguan Jemaah Menteri dan pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, esok.

Bagaimanapun banyak pihak membuat spekulasi Ismail Sabri dipercayai akan turut mempersembahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Kelmarin, Ismail, yang juga naib presiden Umno, dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan pimpinan akar umbi parti di Kuala Lumpur kelmarin dengan penegasan pilihan raya perlu diadakan segera.

Majlis mengadap Ismail Sabri di Istana Negara petang ini berlangsung beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong menerima taklimat mengenai persiapan agensi berkenaan menghadapi banjir.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Ampang diiringi Tuan Ibrahim.

Lawatan bertujuan meninjau persiapan agensi berkaitan menghadapi kemungkinan bencana banjir dalam waktu terdekat.– 6 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen